fbpx

Tapak pembinaan kotor diberi tempoh dua minggu

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Pekerja terpaksa tidur beralaskan papan lapis di sebuah tapak pembinaan di Jalan Stonor. /FOTO AFIQ RAZALI

KUALA LUMPUR – Pemilik tapak pembinaan di Jalan Stonor diberi tempoh dua minggu untuk membersihkan kawasan tersebut selepas pihak berkuasa mendapati penempatan pekerja berada dalam keadaan kotor.

Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Mohamad Zainal Abdullah berkata, kebanyakan kes positif Covid-19 di tapak-tapak pembinaan adalah berpunca daripada kegagalan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) dan garis panduan yang ditetapkan.

“Pemeriksaan dilakukan di tapak binaan itu bagi memastikan majikan mematuhi SOP Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ditetapkan pihak berkuasa.

“Tapak pembinaan ini pernah merekodkan lebih 50 kes positif Covid-19 sebelum ini dan kita mahu memastikan perkara ini tidak berulang atau wujud kluster baharu membabitkan tapak pembinaan,” katanya ketika sidang akhbar di tapak pembinaan tersebut, hari ini.

Longgokan sampah yang tidak diurus dengan baik di tapak pembinaan tersebut.

Mengulas lanjut, keadaan di tapak pembinaan tersebut kotor dan tidak diselenggara dengan baik selain asrama pekerja yang tidak kondusif.

“Sekiranya perkara ini berterusan, ia mungkin boleh menularkan penyakit berjangkit.

“Pekerja di tapak binaan berkenaan terpaksa tidur beralaskan papan lapis tanpa tilam, bantal, selimut serta kipas dengan tiada pengasingan tempat tidur antara lelaki dan perempuan.

“Kawasan mandi, tempat makan dan persekitaran di kawasan pembinaan ini juga agak kotor dengan sampah sarap serta longgokan sisa makanan. Selain itu, hanya ada enam tandas untuk digunakan 200 pekerja yang kebanyakan warga Bangladesh,” katanya.

Dalam pada itu, Penolong Pengarah Kanan Jabatan Tenaga Kerja (JTK) Kuala Lumpur, Faisal Faris Baharudin berkata, pihaknya akan mengeluarkan notis terhadap majikan untuk membaik pulih asrama pekerja. -K! ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI