GEORGE TOWN – Pulau Pinang membenarkan ibadat korban tahun ini diadakan di masjid, surau dan pusat penyembalihan yang dibenarkan mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan.
Pusat penyembelihan berkenaan merangkumi milik pihak berkuasa tempatan, Jabatan Veterinar dan swasta sahaja.
Timbalan Ketua Menteri I, Datuk Ahmad Zakiyuddin Abd. Rahman berkata, ia tertakluk kepada had bilangan haiwan yang ditetapkan dan petugas seramai 25 orang.
“Bagi rumah penyembelihan tiada had yang ditetapkan, manakala di masjid 10 ekor dihadkan bagi lembu, kerbau atau unta dan 20 ekor (kambing), manakala di surau lima ekor (lembu, kerbau atau unta) dan 10 ekor (kambing).
“Had sembelihan di masjid dan surau adalah lima ekor sehari,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Sementara itu, beliau yang juga Yang Dipertua Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang berkata, peserta korban tidak dibenarkan berada di tempat penyembelihan dan perlu mendaftar secara online.
“Jawatankuasa ibadat korban perlu mendapatkan kebenaran daripada pejabat agama daerah dan memastikan kesemua SOP dipatuhi.
“Aktiviti memasak di tempat korban tidak dibenarkan, makanan petugas dibuat dalam pek dan agihan korban perlu dibuat rumah ke rumah,” katanya lagi. – K! ONLINE