fbpx

Ibu nyaris pengsan anak telan aksesori gelang

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Keputusan imbasan x-ray mendapati aksesori gelang berbentuk beg tangan berada dalam perut kanak-kanak tersebut.

PETALING JAYA – Seorang ibu berkongsi detik cemas apabila anaknya yang berusia dua tahun tertelan aksesori gelang atau charms sehingga dimasukkan ke hospital, semalam.

Amiza Rahmat melalui penulisan di laman sosial Facebook yang telah dikongsi lebih 3,800 kali itu bercerita, anaknya, Humaira Farisha yang berusia dua tahun merupakan anak istimewa kerana mengalami masalah otak berlubang.

“Lebih kurang pukul 9.10 pagi, pengasuh telefon beritahu kejadian itu dan hati rasa nak gugur dengar suara anak menangis.

“Lihat keputusan x-ray saya terkejut rasa hendak rebah tengok charms yang berbentuk beg tangan itu berada dalam perut anak dan tika itu saya peluk anak erat-erat sambil air mata mengalir,” tulisnya.

Menurutnya, Humaira Farisha dikejarkan ke Hospital Selayang untuk dirujuk kepada pakar sebelum ditempatkan di bahagian kecemasan zon kuning dan sepanjang perjalanan, hatinya memberontak menyalahkan diri sendiri.

Katanya, dia memberi anaknya memakai gelang emas sebagai ikhtiar kerana pernah terbaca pemakaian emas boleh mengelakkan seseorang dari kerap sakit sementelah tangan kiri anaknya tidak bergerak dan selalu hanya digenggam sahaja.

“Alhamdulillah doktor kata charms itu sudah masuk dalam perut bukan saluran pernafasan dan adik sudah boleh keluar dengan bekalan ubat untuk mengeluarkan objek tersebut dan perlu dipantau dalam tempoh empat hingga lima hari.

“Nampak macam tiada apa-apa tetapi sangat bahaya jika ia masuk dalam saluran pernafasan dan ia menjadi pengajaran dan situasi yang tidak dapat dilupakan,” ujarnya.

“Peringatan untuk kita juga jangan bagi anak pakai gelang berbuah seperti ini,” ulas seorang netizen.

“Boleh saja pakaikan emas cuma yang kosong sudah cukup kerana anak kecil suka memasukkan barang dalam mulut dan jangan biarkan syiling, mainan kecil atau pin bersepah-sepah sekadar beringat untuk keselamatan,” komen seorang lagi netizen. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI