fbpx

Berlian lebih besar daripada telur ayam

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Berlian ini diserah kepada Presiden Botswana Rabu lepas. – AFP

JWANENG, BOTSWANA – Berlian yang dipercayai ketiga terbesar di dunia ditemui di Botswana, lapor portal berita MailOnline kelmarin.

Berlian belum dicanai itu dianggarkan bernilai sekitar £40 juta (RM231 juta).

Batu permata itu memiliki berat 1,098 karat(219.6 gram)dan berukuran 7.6 sentimeter. Ia ditemui di tapak perlombongan terkaya dunia di Jwaneng oleh syarikat Debswana Diamond Company (Debswana).

“Kami percaya berlian itu adalah ketiga terbesar ditemui di dunia.

“Berlian yang jarang dan luar biasa itu amat bermakna buat negara Botswana.

“Penemuannya membawa harapan kepada negara ini yang kini bergelut dengan krisis ekonomi semasa,” ujar Pemangku Pengarah Urusan Debswana, Lynette Armstrong.

Berlian terbesar di dunia ditemui di Afrika Selatan pada tahun 1905 dengan berat 3,106 karat (621.2 gram), diikuti berlian 1,109 karat (221.8 gram) yang ditemui di Botswana pada 2015.

 

Berlian seberat 1,098 karat yang ditemui di sebuah tapak perlombongan di Jwaneng. – AFP

Menurut Armstrong, penemuan kali ini adalah penemuan berlian terbesar dalam sejarah 50 tahun syarikat Debswana.

Debswana merupakan syarikat usahasama antara kerajaan Botswana dan gergasi berlian global, De Beers.

“Pada masa ini, kami belum membuat keputusan sama ada mahu menjual berlian ini menerusi saluran jualan De Beers atau melalui syarikat milik kerajaan, Okavango Diamond Company,” katanya.

Bagaimanapun, menurut seorang jurucakap Debswana, syarikat itu akan menjual berlian tersebut dengan cara yang akan memberikan manfaat maksimum kepada rakyat negara itu.

Pada Rabu lepas, berlian itu diserahkan kepada Presiden Botswana, Mokgweetsi Masisi di ibu negara, Gaborone.

Sementara itu, Menteri Mineral Botswana, Lefoko Moagi berkata, penemuan berlian tersebut berlaku pada waktu yang tepat selepas pandemik Covid-19 memberi kesan buruk kepada jualan berlian negara itu tahun lalu. – AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI