AMSTERDAM – Pemain legenda Belanda, Robin Van Persie (RVP) akhirnya rasmi bergelar jurulatih selepas menerima tawaran daripada pasukan Feyenoord untuk menjadi salah seorang daripada barisan kejurulatihan bermula musim depan.
Sebagai rekod, Van Persie yang sebelum ini pernah mewakili pasukan gergasi Liga Perdana England (EPL), Manchester United dan Arsenal mengambil keputusan untuk bersara sepenuhnya tahun lalu selepas mewakili Feyenoord.
Kata Van Persie, peluang untuk ‘belajar’ daripada ketua jurulatih Feyernoord, Dick Advocaat adalah detik keemasan buatnya jika mahu serius dalam bidang kejurulatihan dan tawaran itu sukar untuk ditolak.
“Advocaat telah menghubungi saya bulan lalu dan menawarkan posisi jurulatih pasukan utama musim depan. Anda tahu apabila seseorang seperti Advocaat menawarkan tawaran, mustahil untuk ditolak.
“Namun, jawatan saya adalah jurulatih dan tidak spesifik seperti menjaga pemain penyerang sahaja. Saya anggap keputusan ini sebagai peluang menimba pengalaman.
“Sama ada saya akan serius dalam bidang kejurulatihan pada masa depan masih belum dapat saya putuskan. Apa yang pasti, ini adalah langkah pertama ke arah itu (bergelar jurulatih),” katanya.
Van Persie yang berusia 37 tahun dianggap sebagai salah seorang penyerang terbaik dunia ketika pertengahan kariernya dan berjaya membantu Belanda muncul pasukan naib juara Piala Dunia pada tahun 2010. – AGENSI