KLANG – Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia ( Maqis ) Selangor merampas seberat 28,737 kilogram (kg) kayu oak merah di Pelabuhan Utara, di sini kelmarin.
Kayu diimport dari Amerika Syarikat yang bernilai RM88,285.61 dirampas hasil pemeriksaan rutin pukul 11 pagi.
Pengarahnya, Zamri Hashim berkata, siasatan awal mendapati kayu-kayu tersebut diimport oleh sebuah syarikat pembuatan dan pengedaran pintu yang beroperasi di Banting, Kuala Langat.
“Hasil pemeriksaan mendapati barangan tersebut tidak mematuhi syarat import Maqis iaitu tidak menyatakan rawatan di dalam sijil fitosanitasi seperti dinyatakan dalam permit, lesen dan perakuan.
“Semakan mendapati ia merupakan kesalahan pertama dilakukan syarikat tersebut,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau menambah, kayu-kayu itu adalah untuk pembuatan pintu bagi pasaran tempatan.
Katanya, kes disiasat di bawah Seksyen 15(1) Akta Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia 2011 [Akta 728]. – K! ONLINE