RAMALLAH, PALESTIN – Pihak berkuasa Palestin membatalkan perjanjian untuk menerima sekurang-kurangnya satu juta dos vaksin dari Israel susulan terdapat masalah teknikal dalam vaksin yang diterima setakat ini, lapor United Press International semalam.
Sebagai permulaan, sebanyak 90,000 dos vaksin Pfizer telah disalurkan kepada Palestin, namun hasil pemeriksaan mendapati, terdapat beberapa masalah teknikal pada vaksin tersebut sehingga memaksa perjanjian dibatalkan.
“Selepas pasukan perubatan dan teknikal memeriksa kumpulan pertama vaksin yang diterima, mereka mendapati dos tersebut tidak memenuhi spesifikasi teknikal yang dipersetujui selain menjelang tarikh luput.
“Justeru, kami membawa perkara itu kepada Perdana Menteri, Mohammad Shtayyeh, dan beliau membuat keputusan untuk membatalkan perjanjian tersebut serta memulangkan vaksin itu kepada Israel,” ujar Menteri Kesihatan Palestin, Mai Alkaila.
Sebelum ini, Palestin mempunyai perjanjian dengan Israel untuk menerima sekurang-kurangnya satu juta vaksin dari Israel yang kemudiannya akan diganti semula oleh Palestin.
Sebagai pertukaran, apabila pihak berkuasa Palestin menerima 1.4 juta dos vaksin Pfizer dari pihak lain yang dijadualkan tiba selepas ini, sebanyak satu juta dos akan diserahkan semula kepada Israel.
Pada tahun lepas, Israel dikritik kerana menyimpan vaksin dan tidak mengedarkannya vaksin kepada Palestin.
Tindakan itu menerima kecaman termasuk daripada beberapa ahli Demokrat di Amerika Syarikat yang menggesa Israel untuk turut sama menyalurkan vaksin kepada Palestin. – AGENSI