fbpx

Penoreh rugi hampir RM100,000 terjerat Love Scam

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan.

JEMPOL – Percintaan alam maya seorang penoreh getah di Air Hitam, di sini, sejak Februari lalu membawa padah apabila dia kerugian hampir RM100,000 selepas terjerat dengan sindiket Love Scam.

Ketua Polis Daerah Jempol, Superintenden Hoo Chang Hook berkata, berdasarkan siasatan awal, mangsa berkenalan dengan seorang wanita warganegara Singapura di laman sosial Facebook bernama Sarah Wong yang mendakwa menetap di Australia.

“Mangsa telah berhubung lanjut dengan individu berkenaan dan menjalinkan hubungan secara maya. Perhubungan mangsa dengan individu berkenaan hanya melalui mesej di aplikasi whatsApp. Mangsa tidak pernah membuat panggilan telefon ataupun panggilan video kepada suspek sepanjang perkenalan.

“Sepanjang perhubungan, mangsa menjadi tempat kenalannya itu meluah masalah perniagaan yang dijalankan berkaitan perniagaan minyak mentah di luar negara dan kenalannya itu meminta mangsa untuk meminjamkan wang bagi penyelesaian urusan-urusan perniagaan yang tergendala,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Chang Hook berkata, atas rasa simpati dan percaya kepada hubungan itu, mangsa telah meminjamkan sejumlah wang kepada kenalannya itu.

Menurutnya, mangsa telah melakukan enam kali transaksi berjumlah RM99,000 ke sebuah akaun (7059592148) atas penama Chew Wei Luen yang dikatakan akaun pekerja syarikat kenalan pengadu yang menguruskan kewangan syarikat.

“Setelah selesai urusan kemasukkan wang tersebut, kenalan mangsa sekali lagi meminta sejumlah wang RM131,000.00 dengan alasan kewangan syarikat masih lagi tidak dapat diselesaikan.

“Mangsa mulai curiga dengan hal yang berlaku dan membuat laporan polis semalam di Balai Polis Bahau,” ujarnya. -K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI