fbpx

Kualiti minyak dalam bungkusan plastik setanding minyak dalam botol

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
MPOB memberi jaminan bahawa kualiti minyak masak olein dalam bungkusan plastik menepati kualiti yang ditetapkan dan bukan minyak kitar semula. -Gambar hiasan

PETALING JAYA – Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) menegaskan bahawa kualiti minyak masak olein dalam bungkusan plastik 1 kilogram (kg) yang dijual di pasaran tempatan menepati kualiti yang ditetapkan dan bukan minyak kitar semula.

Ketua Pengarahnya, Dr. Ahmad Parveez  Ghulam berkata, pengguna dan persatuan pengguna menganggap minyak masak dalam bungkusan plastik 1 kg mempunyai kualiti yang lebih rendah berbanding minyak masak dalam botol kerana harganya yang lebih murah.

“Tanggapan bahawa minyak masak dalam bungkusan plastik 1 kg yang dijual dengan harga subsidi mempunyai kualiti yang lebih rendah adalah salah. 

“Harga minyak masak dalam bungkusan plastik 1 kg disubsidi dan dikawal oleh Kerajaan. Oleh itu, harganya lebih murah berbanding harga minyak masak dalam botol di pasaran,” katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan semalam.

Ahmad Parveez menerangkan, MPOB menjalankan pemantauan secara berkala dan pengujian sampel minyak masak di pasaran mendapati bahawa kualiti dan ciri-ciri penting adalah menepati kriteria yang ditetapkan oleh Jabatan Standard Malaysia.

 Ini meliputi kandungan asid oleik, warna dan kualiti penting termasuk sebatian polar, sebatian polimer, indeks kestabilan oksidatif dan vitamin E (tokotrienol dan tokoferol).

Tambah Ahmad Parveez, buat masa sekarang,  terdapat 49 kilang penapis yang aktif beroperasi serta 312 syarikat pembungkus minyak masak bagi bekalan minyak masak untuk kegunaan pasaran tempatan yang dianggarkan sebanyak satu juta tan setahun.

Menurut beliau, minyak masak di pasaran tempatan dijual dalam pelbagai saiz bungkusan dari paket plastik 1 kg hingga minyak masak dalam botol bersaiz 1 kg hingga 5 kg.

Saiz bungkusan pula adalah dalam 17 kg dalam tin digunakan oleh industri kecil dan sederhana. 

“Kebanyakan minyak masak daripada bungkusan plastik 1 kg dikeluarkan oleh syarikat pembungkus kerana ia melibatkan kos operasi yang rendah.

Minyak masak plastik 1 kg biasanya dijual dalam bentuk karton dengan berat 17 kg (yang mengandungi 17 paket 1kg minyak masak),” jelasnya.

Subsidi diberikan kepada minyak masak plastik 1kg kepada pengguna pada harga RM2.50 sebungkus walaupun harga minyak sawit mentah (MSM) di pasaran telah meningkat.

 Bekalan minyak masak bersubsidi bertujuan mengurangkan beban hidup pengguna untuk mendapatkan minyak masak dengan harga yang berpatutan.

Mengulas lanjut,  Ahmad Parveez berkata, harga minyak masak yang dijual dalam botol seberat 1kg, 2kg, 3kg dan 5kg tidak disubsidi dan harganya ditentukan oleh harga minyak sawit mentah di pasaran global.

“Pengguna bebas membuat pilihan membeli minyak masak sawit di pasaran sama ada bersubsidi dalam bungkusan plastik 1kg atau minyak masak tanpa subsidi dalam botol,” ujarnya.

Sementara itu, minyak masak terpakai biasanya diproses semula untuk tujuan bukan makanan terutamanya untuk dijadikan biodiesel dan untuk dieksport. 

Eksport minyak masak terpakai berjumlah 195,559 tan bernilai RM606.88 juta pada 2020 berbanding123,519 tan bernilai RM308.49 juta pada 2019, dari bulan Januari hingga  Mei tahun ini, sebanyak 40,522 tan minyak masak terpakai bernilai RM153.01 juta dieksport.

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI