fbpx

England gagal manfaat kelebihan, Scotland masih ada peluang

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
PENYERANG England, Harry Kane dan Phil Foden gagal membantu The Three Lions meraih kemenangan di laman sendiri apabila sekadar seri 0-0 dengan Scotland pada saingan Kumpulan D, Euro 2020 di Stadium Wembley, London sebentar tadi. - AFP

LONDON – Pasukan England gagal memanfaatkan kelebihan beraksi di laman sendiri apabila sekadar meraih keputusan seri tanpa jaringan ketika menentang seteru tradisi, Scotland dalam aksi Kumpulan D, Euro 2020 sebentar tadi.

Pada aksi di Stadium Wembley itu, skuad Three Lions kendalian Gareth Southgate terlebih dahulu menguji benteng pertahanan pasukan pelawat selepas tandukan John Stones terkena tiang gol seawal minit ke-11.

Bagaimanapun, selepas itu tiada percubaan menarik yang dilakukan oleh pasukan England ke atas kubu Scotland apabila jentera serangan yang diketuai oleh kapten, Harry Kane dilihat bergelut untuk memecah kebuntuan.

Malah, Scotland lebih mempunyai peluang keemasan untuk meraih gol tetapi rembatan yang dilakukan oleh pemain pertahanan, Stephen O’Donnell berjaya ditepis penjaga gol, Jordan Pickford pada minit ke-30.

Bersambung pada babak kedua, Southgate membuat pertukaran dengan memasukan perancang sensasi Aston Villa, Jack Grealish dan penyerang Manchester United, Marcus Rashford.

Namun, Scotland yang dibimbing oleh Steve Clarks kekal kental khususnya daripada aspek pertahanan yang diketuai oleh tonggak Liverpool, Andrew Robertson dan bek dari kelab Arsenal, Kieran Tierney.

Pasukan The Tartan Army sekali lagi mempunyai peluang keemasan pada penghujung perlawanan tetapi rembatan yang dilakukan oleh Che Adams selepas menerima hantaran Robertson sedikit tersasar.

Keputusan seri 0-0 kekal sehingga tamat perlawanan sekali gus menyaksikan England masih belum mengesahkan tiket ke pentas kalah mati selain Scotland turut memiliki peluang tipis untuk mara ketika saingan masih berbaki satu perlawanan.

England dijadualkan bertemu dengan Republik Czech manakala Scotland akan menentang Croatia pada aksi terakhir peringkat Kumpulan D minggu depan. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI