fbpx

Demi watak hamil, perut Fasha melecet ‘usung’ beban 15kg

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
FASHA SANDHA

PETALING JAYA – Pelakon popular, Fasha Sandha sanggup mengusung perut silikon seberat 15 kilogram sehingga kulitnya melecet, semuanya demi keberkesanan watak  lakonan.

Katanya ibu kepada tiga cahamata mata itu, dari sudut positif ‘bebanan’ perut palsu tersebut banyak membantunya menangani cabaran mengekalkan emosi dan pergerakan seperti wanita mengandung menerusi drama bersiri Scammer.

“Sebelum ini, bukannya saya tak pernah jayakan karakter wanita hamil atau memakai perut palsu tetapi kali ini sangat berbeza sebab beratnya sebanyakl 15 kilogram, sampai menyukarkan pergerakan sebab menahan berat.

“Bahannya pula dibuat daripada silikon, jadi apabila memakainya di set dalam tempoh beberapa jam, kulit pada bahagian perut mengalami masalah kegatalan dan merekah.

“Kalau tak mengenakan perut palsu itu mungkin saya pun berjalan laju dalam skrin. Memang nampak asli sampai jiran yang menonton Scammer menyangka saya betul-betul mengandung.

“Memang mencabar tetapi pada masa sama saya teruja tambahan pula melihat komitmen pelakon lain terutama Arash Mohamad yang rajin membuat rujukan,” katanya ketika sidang media virtual pelakon Scammer semalam.

Selain Fasha yang membawakan watak Nisa, drama rantaian 20 episod siaran Astro Ria yang memulakan siaran sejak 24 Mei lalu tersebut turut membariskan Arash selaku pendukung watak bapa mertua.

Antara bintang lain yang melayari kisah pengubahan wang haram tersebut, termasuklah Kamal Adli, Siti Saleha, Nor Albaniah, Didie Alias, Chew Kin Wah dan Hasnul Rahmat.

Demi membina kehidupan yang selesa untuk Nisa, Joe (Kamal) sanggup menerima tawaran bekas kekasihnya, Amy (Saleha) bekerja sebagai agen pengubahan wang haram.

Disebabkan aktiviti haram, mereka menjadi subjek pemantauan pihak berkuasa selain diperhatikan pihak lain.

Akui pemilik nama sebenar Nur Fasha Sandha Hassan, 37, lagi, gandingan bersama Arash dalam produksi kali ini cukup berbeza apabila bergandingan sebagai menantu dan mertua.

“Kami memang kerap berpasangan dalam drama tetapi selalunya sebagai suami isteri. Mula-mula kekok juga sebab drama terakhir kami berlakon sebelum ini jadi suami isteri.

“Semua ini yang kena tune namun tiada masalah pun sepanjang penggambaran apabila masing-masing ‘memberi’ termasuk pengarah drama yang sangat terbuka dan kreatif,” katanya.

Mengakui bertuah dapat bersama Radious One selepas beberapa kali terpaksa melepaskan pelawaan produksi tersebut, dedah Fasha banyak pengisian yang membuka matanya berkenaan dunia ‘scammer’.

“Sebelum masuk set saya buat kajian dulu tentang penipuan maya atau ‘scammer’ namun skrip drama ini juga sudah cukup kuat dalam memberikan sebarang informasi.

“Sejujurnya Scammer bukan saja dapat dijadikan pengajaran, malah meninggalkan info penting dalam memberi penerangan kepada penonton supaya jangan mudah terpedaya.

“Daripada hanya tahu maklumat asas berkenaan dunia penipuan maya ini, saya dapat banyak pelajaran baharu yang boleh dikongsi dengan ramai,” tambah isteri kepada aktor Aidil Aziz itu. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI