MUNICH – Ketua jurulatih Portugal, Fernando Santos mahu anak-anak buahnya meneruskan momentum cemerlang pada kempen Euro 2020 dengan merentap ego Jerman pada aksi kedua Kumpulan F di Stadium Allianz Arena tengah malam ini.
Kata Santos, barisan pemain perlu bekerja keras dalam usaha meraih tiga mata penting selain tidak perlu mendabik dada selepas meraih kemenangan ketika bertemu Hungary sebelum ini kerana aksi tersebut hanyalah langkah permulaan.
“Kami memulakan saingan Euro 2020 dengan baik tetapi ujian sebenar adalah bertemu Jerman malam nanti. Saya harap pasukan melipatgandakan usaha kerana apa sahaja boleh berlaku dalam bola sepak dan kami perlu kekal konsisten.
“Di atas kertas, Jerman memiliki kualiti tersendiri dengan kelebihan individu selain kekuatan mereka bekerja dalam satu pasukan tidak kira ketika menyerang atau bertahan. Justeru, saya anggap peluang kami 50-50 untuk meraih kemenangan pada aksi tersebut,” katanya.
Sementara itu, perancang tengah Portugal, Bruno Fernandes harap dapat menampilkan prestasi cemerlang bersama Manchester United musim lepas dapat diterjemahkan bersama skuad kebangsaan dalam usaha mengekalkan kejuaraan Euro yang dimenangi pada edisi 2016.
“Segala rekod saya bersama United musim lepas sudah menjadi sejarah dan saya tidak boleh melihat pada prestasi lepas sahaja sebaliknya terus berusaha untuk memastikan pasukan mencapai sasaran yang ditetapkan.
“Apa yang penting adalah pasukan kini berada pada tahap terbaik dengan hubungan kami semua bagaikan satu keluarga.
“Pertemuan dengan Jerman akan menjadi penanda aras dalam membuktikan bahawa kami serius untuk mempertahankan kejuaraan,” katanya.
– AGENSI