CINTA satu hal yang cukup berat untuk diungkapkan dramatis bernama Azar Azmi itu. Bukan mudah untuknya berbicara secara terbuka soal hati dan perasaan selepas episod putus tunang pada Februari tahun lalu.
Peristiwa tersebut membuatkan wanita berusia 32 tahun itu serik untuk berkongsi kisah peribadi, terutamanya soal cinta kepada khalayak. Dia bimbang cinta yang disulam terputus di tengah jalan.
Sungguhpun begitu, si pemilik nama sebenar Siti Azar Ameerah Azmi, pintu hatinya kembali terbuka dan kini sedang menjalinkan hubungan cinta dengan lelaki yang masih mahu dirahsiakan identitinya kepada umum.
“Saya seorang yang sangat positif, apabila putus tunang. Saya yakin pasti ada hikmah. Saya tidaklah terlalu kecewa kerana sedar kesilapan dalam hubungan sebelum ini mengajar saya untuk menjadi orang yang lebih baik.
“Sekarang memang saya sedang bercinta dan mengenali hati budi seseorang. Namun, pengalaman sebelum ini membuatkan saya serik untuk berkongsi kisah cinta terlalu awal.
“Saya tidak mahu terlalu kecoh akhirnya hubungan tersebut tidak menjadi. Memang saya serik, jadi selepas ini apa sahaja masalah lebih baik simpan sendiri. Doakan yang baik-baik buat saya,” ujarnya yang sebelum ini putus tunang dengan seorang penerbit filem bernama Hafiz Roslan.
Ditebak siapakah gerangan lelaki yang mengisi hatinya, adakah seorang artis mahupun orang biasa? Azar bagaimanapun tetap mengunci mulut enggan mendedahkan identiti kekasihnya.
“Siapa dia, biarlah menjadi persoalan (ketawa). Saya tidak suka dengan gosip atau cerita negatif. Biarlah orang mengenali saya kerana lakonan. Andai sampai masanya, saya akan berkongsi juga bersama peminat dan media,” tutur Azar ketika dihubungi HibGLam baru-baru ini.
Sungguhpun merahsiakan identiti teman lelakinya, namun tindakan Azar yang membuat kejutan sempena sambutan ulang tahun ke-31 pelakon Hafreez Adam pada 10 Jun lalu menimbulkan persoalan ramai tentang hubungan mereka.
Menguatkan andaian bahawa ada cinta sedang menjalar di jiwa masing-masing, Hafreez baru-baru ini mengesahkan bahawa mereka kini sedang mengenali hati budi, bagaimanapun hubungan tersebut masih belum ke fasa percintaan.
“Ya, saya dan Azar sedang berkawan tetapi kami tidak bercinta kerana masih saling mengenali hati budi masing-masing.
“Jika ditanya sama ada hubungan ini akan menjadi lebih serius, saya sendiri tidak berani untuk beri jawapan. Masih terlalu awal dan jauh untuk menjangkakannya,” kata Hafreez .
Seperti mana Azar, Hafreez juga memilih untuk tidak terlalu terbuka berbicara soal hati selepas putus tunang dengan pelakon Zara Zya pada November 2019, hanya selepas sebulan melangsungkan pertunangan.
Derita Untuk Bahagia
Beralih bicara tentang perkembangan karier lakonannya, drama terbaharu lakonan Azar, Derita Untuk Bahagia kini sedang hangat ditayangkan di Astro Prima.
Drama 30 episod yang menjalani penggambaran bermula September tahun lalu tersebut berdepan dengan pelbagai cabaran. Antaranya, penggambarannya terpaksa dihentikan sebanyak dua kali kerana Perintah Kawalan Pergerakan 2.0 (PKP).
Bukan itu sahaja, Azar sendiri terpaksa direhatkan seketika daripada penggambaran apabila menjadi kontak rapat individu yang dijangkiti Covid-19.
“Saya memang rasa bersalah apabila menjadi kontak rapat orang positif Covid-19 kerana telah mengganggu jadual penggambaran. Saya terpaksa bercuti selama lebih sebulan.
“Biarpun keputusan ujian calitan saya ketika itu negatif, pihak produksi tidak mahu mengambil risiko dan meminta saya melakukan kuarantin di rumah.
“Alhamdulillah, akhirnya drama ini dapat ditayangkan. Mengikut jadual, drama ini sepatutnya ditayangkan pada November tahun lalu. Disebabkan PKP dan pelbagai kekangan lain, tarikh tayangan terpaksa ditangguhkan,” kata Azar tentang drama yang mula ditayangkan pada 7 Jun lalu.
Drama Ejump Mohd. tersebut buat pertama kalinya menggandingkan Azar dan Hafreez sebagai pasangan.
Menurut Azar, dia pernah terlewat dua jam ke lokasi penggambaran gara-gara keletihan.
“Sepanjang berlakon saya sentiasa berdisiplin, tetapi kerana keletihan saya terlajak tidur sehingga lewat dua jam ke lokasi penggambaran. Waktu itu adalah babak saya bersama Hafreez dan dia terpaksa menunggu selama dua jam.
“Bagi saya drama ini paling memenatkan kerana kami semua mengejar waktu untuk selesaikan penggambaran dengan kadar segera. Jadi, kami sering bekerja sehingga ke subuh,” kongsi Azar.
Kata Azar, watak lakonannya, Alisha seorang gadis yang lahir daripada keluarga susah dan berniaga kerepek untuk membantu pendapatan si ibu mengingatkannya terhadap kehidupan sendiri.
“Babak paling berat dalam drama ini adalah ketika ibu Alisha meninggal dunia. Ibu saya juga telah meninggal dunia jadi emosinya terbawa-bawa dalam kehidupan realiti.
“Saya cuma berharap penonton akan memberikan sokongan dengan menonton dan mengambil banyak pengajaran tentang apa yang disampaikan menerusi drama ini,” tutur Azar.
Selain Azar dan Hafreez, naskhah Derita Untuk Bahagia turut dibintangi oleh Isyariana, Amar Baharin, Mona Allen, Zamarul Hisham, Che Puan Syamim Farid, Afifah Nasir, Arena Iman, Shah Iskandar, Mia Nasir, Fazlina Ahmad Daud dan Sahronizam Noor.
Perniagaan
Biarpun namanya semakin popular dalam dunia lakonan, Azar tidak mahu berada dalam kedudukan selesa. Justeru, walaupun sibuk dengan kerjaya lakonan, anak ketiga daripada lima beradik itu tetap ligat berniaga.
Disebabkan sudah terbiasa hidup susah dan sering membantu arwah ibu bapanya berniaga ketika kecil, Azar tidak boleh duduk diam.
“Habis persekolahan saya sudah buka kedai berniaga pakaian. Sebelum itu, saya pernah membantu arwah ibu dan bapa berniaga ikan, pisang goreng dan nasi lemak.
“Jadi, saya sudah terbiasa berniaga. Jika tidak jadi pelakon pun, saya tetap akan berniaga. Oleh sebab itu, bukanlah isu saya berniaga kerana mahu sediakan payung sebelum hujan andai sudah tidak laku pada masa depan. Saya akan berlakon selagi mana khidmat diperlukan,” luahnya.
Tambahnya yang kini memiliki produk kecantikan sendiri bawah jenama Snowy dan Azar Azmi Cosmetics, perniagaan dan karier lakonan berjalan seiring.
Meskipun agak meletihkan kerana terpaksa fokus kepada dua perkara serentak, Azar yakin, dengan keazaman yang jitu, dia mampu melakukan yang terbaik untuk kedua-dua bidang.
“Saya bersyukur kerana mempunyai pasukan yang bagus. Jadi, apabila saya fokus terhadap lakonan, pekerja saya yang akan menguruskan hal perniagaan. Namun, saya tidak pernah berada dalam zon selesa.
“Perniagaan memang harus sentiasa dipantau dan sentiasa ditambah baik. Begitu juga dengan lakonan, saya tidak boleh streotaip dengan watak yang sama. Perubahan perlu ada, jika tidak penonton akan bosan,” kongsinya.
Selepas produk kecantikan, Azar bakal meluaskan perniagaannya menerusi produk makanan yang akan dijual secara dalam talian.
“Pandemik Covid-19 memberi kesan kepada semua, termasuk saya. Perniagaan terjejas, kerja lakonan juga banyak ditangguhkan. Jadi, secara tidak langsung membuatkan saya berfikir untuk lebih berdaya saing meneruskan kelangsungan hidup.
“Saya lihat, dalam apa juga situasi, produk makanan akan tetap laku. Jadi, saya merancang untuk membuka perniagaan makanan yang akan beroperasi secara dalam talian tidak lama lagi,” ujar Azar menutup bicara.