Oleh MOHD. RIDZAUDDIN ROSLAN dan IZZATUL ‘AIN AZMAN
PETALING JAYA – Orang ramai semalam meluahkan perasaan kecewa dan resah apabila kes positif Covid-19 masih tinggi walaupun sudah menjalani Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 sejak 10 Mei dan Sekatan Pergerakan Penuh bermula 1 Jun lalu.
Pengguna media sosial menyerbu ruangan komen Twitter rasmi Kementerian Kesihatan (KKM) yang berkongsi jumlah jangkitan harian Covid-19 sebanyak 6,440 kes semalam.
Rata-rata mereka meninggalkan ciapan kecewa terhadap situasi kes Covid-19 di Malaysia.
Menurut seorang pengguna dengan nama @harry_jjay, setiap hari pasti akan ada kluster terbaharu disumbangkan kluster tempat kerja.
“Setiap hari ada kluster baharu dan majoriti daripada kluster tersebut pasti ada kluster dari kilang. Sudah jelas banyak pekerja kilang yang positif Covid-19 pun masih tidak mahu tutup kilang,” ciapnya.
Seorang pengguna lain, @iam_ein berkata, sudah 18 hari PKP 3.0 dilaksanakan dan kes pula tetap tinggi serta mempersoalkan tindakan yang perlu dilakukan setelah 18 hari duduk di rumah.
“Sudah 18 hari pun masih tinggi? Sudah lebih dari dua minggu. Ada pula yang terpaksa catu makanan sehari sekali untuk berjimat. Tiada mana-mana agensi mahu cuba fikir apa yang salah dalam tempoh PKP 3.0 ini? Adakah tiada perubahan atau tindakan?” soalnya.
Seorang pengguna Twitter lain pula memberitahu, dia dipaksa bekerja kerana sektor pekerjaannya merupakan sektor penting ketika PKP 3.0 dan jadual kerjanya pula makin padat.
“Saya kena paksa kerja kerana bekerja di dalam sektor yang penting dan saya juga terpaksa ikut jadual balik kerja selepas pukul 8 malam. Hari-hari kena maki dengan pelanggan. Pelajar pula ada kelas online, jadual semakin padat. Saya letihlah jika berterusan begini,” ciapnya kecewa.
Seorang pengguna yang turut kecewa, @wanbadie berkata, dia mengetahui kluster baharu meningkat kerana pekerja sektor tertentu masih dibenarkan bekerja sehingga kini.
“Kita duduk rumah pun tahu kluster mana yang banyak sekarang ini sebab mereka dibenarkan bekerja. Sudahlah beribu-ribu pekerja satu kilang, bagaimana hendak landaikan graf kalau begini,” ujarnya.
Sejak 10 Mei lalu, negara diletakkan di bawah pelaksanaan PKP 3.0 selain orang ramai tidak dibenarkan untuk melakukan pergerakan rentas daerah dan negeri ketika Hari Raya Aidilfitri pada 13 Mei lalu.
Kerajaan pada 1 Jun lalu, mula melaksanakan total lockdown Fasa Pertama dalam usaha melandaikan keluk jangkitan Covid-19.
Negara merekodkan kes tertinggi sebanyak 9,020 pada 29 Mei lalu, serta pernah dua kali kes melebihi angka 8,000 iaitu pada 28 Mei (8,290 kes) dan 3 Jun (8,209 kes).
Sementara itu, Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, Majlis Keselamatan Negara (MKN) menerima 382 aduan mengikut kategori yang memerlukan tindakan penguatkuasaan daripada pelbagai kementerian dan agensi sejak 6 Jun hingga semalam.
Katanya, daripada jumlah itu, aduan paling banyak diterima melibatkan pelanggaran arahan had peratusan kehadiran pekerja.
“Sebanyak 98 aduan direkodkan melibatkan pelanggaran arahan had peratusan kehadiran pekerja ke premis, manakala berkaitan non-essential sebanyak 77 aduan.
“Aduan berkaitan ketidakpatuhan prosedur operasi standard (SOP) pula 60 aduan,” katanya dalam kenyataan semalam. -K! ONLINE