MELAKA – Pemandu treler membawa muatan minyak masak terpakai nyaris rentung apabila kenderaan berat itu terbakar di Hentian Rehat dan Rawat (R&R) Ayer Keroh arah utara, di sini hari ini.
Dalam kejadian pukul 2.30 petang, pemandu berusia 57 tahun dilaporkan selamat kerana ketika kejadian dia sedang berehat di bangunan medan selera berhampiran.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Ayer Keroh, Penolong Penguasa Bomba Mohamad Hamdan Sudin berkata, panggilan kecemasan diterima pada pukul 2.39 petang dan sepasukan 16 pegawai dan anggota dikejarkan ke lokasi.
“Setiba di lokasi, kita dapati sebuah treler membawa muatan minyak masak terpakai terbakar 70 peratus di bahagian hadapan kontena.
“Bagaimanapun, pemandu terselamat kerana tidak berada dalam kenderaan itu dan kebakaran dapat dikawal dalam masa 15 minit,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Kebakaran dipercayai mula merebak di bahagian tayar hadapan treler.
Pada awalnya pemandu cuba memadam kebakaran menggunakan alat pemadam api, namun tidak berjaya.
Sementara itu, Ketua Jabatan Siasatan Penguatkuasaan Trafik negeri, Superintendan Hasan Basri Yahya memberitahu, kebakaran dipercayai berpunca daripada masalah ‘bearing’ tayar.-K! ONLINE