AMSTERDAM – Pengendali pasukan Belanda, Frank De Boer dilihat masih tidak berpuas hati dengan prestasi pasukannya itu meskipun sudah sah layak ke pusingan 16 terbaik selepas membenam Austria 2-0 awal pagi semalam.
Bagaimanapun, De Boer percaya anak buahnya masih mampu meningkatkan prestasi terutama memperkemas bahagian serangan untuk menghadapi perlawanan yang mencabar di peringkat kalah mati.
“Secara keseluruhan saya gembira dengan persembahan pasukan, tetapi mereka boleh melakukan lebih baik terutama menguasai perlawanan.
“Dari segi pertahanan, kami bertambah baik. Cuma, bahagian serangan tidak mencipta banyak peluang. Sangat mengecewakan apabila kami banyak kehilangan bola ketika melakukan serangan.
“Bagi saya, ini permulaan positif dan baik. Kami tidak ingin terlalu selesa dengan aksi peringkat kumpulan ini. Secara keseluruhan ia adalah persembahan yang baik dan memberi saya keyakinan untuk perlawanan seterusnya,” katanya.
Pada perlawanan tersebut, penyerang sensasi Belanda, Memphis Depay menjaringkan gol pembukaan seawal minit ke-11 sebelum gol kemenangan diperoleh menerusi ledakan Denzel Dumfries pada minit ke-67.
Belanda kini mengesahkan kedudukan sebagai juara kumpulan Kumpulan C Euro 2020 selepas menewaskan Ukraine 3-2 pada aksi pembukaan dan akan berdepan Macedonia Utara pada aksi terakhir nanti. – AGENSI