fbpx

Venezuela nafi hajat Colombia

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
FARINEZ mempamerkan aksi luar biasa apabila menafikan 17 percubaan Colombia ketika Venezuela mencatat keputusan seri tanpa jaringan pada aksi pagi semalam. – AFP

GOIANIA – Venezuela melakar kejutan apabila berjaya ­me­ng­ikat Colombia dengan seri tanpa jaringan pada aksi kedua Copa America 2021 yang berlangsung di Estadio Olimpico Pedro Ludovico pagi semalam.

Biarpun hanya berjaya melepaskan satu percubaan tepat ke arah gawang lawan, mereka berjaya mempamerkan aksi berdisiplin untuk menafikan hasrat Colombia meraih kemena­ngan kedua.

Venezuela yang merupakan salah satu daripada dua pasukan yang tidak pernah memenangi gelaran Copa America berdepan tekanan hebat sebelum kempen kali ini bermula apabila lapan pemain mereka disahkan positif Covid-19.

Pada aksi berkenaan, Colombia berjaya melepaskan 17 percubaan ke arah pintu gol Venezuela, namun tiada satu pun yang berjaya menerjah jaring ekoran kecekapan penjaga golnya, Wuilker Farinez yang berjaya mengekang asakan berkenaan.

“Saya mahu mengucapkan tahniah kepada penjaga gol Ve­nezuela kerana menampilkan aksi yang sangat berkualiti. Dia menyebabkan kami tidak mampu meraikan sebarang jaringan kali ini

“Saya seakan tidak percaya dengan peluang yang kami miliki, akhir­nya kami pulang de­ngan satu mata sahaja. Ia sangat mengecewakan dan kami perlu menambah baik sentuhan pe­nyudah,” kata jurulatih Colombia, Reinaldo Rueda.

Pada aksi pertama, Colombia berjaya meraih tiga mata penuh selepas berjaya menundukkan Ecuador 1-0 dan mereka kini berada di kedudukan kedua di belakang Brazil bagi Kumpulan B.

Colombia bakal menentang Peru untuk aksi ketiga, manakala Venezuela pula akan turun mencari kemenangan pertama pada aksi kedua berdepan Ecuador di mana kedua-dua perlawanan itu berlangsung pagi Isnin depan.
– AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI