KAMPAR – Empat lelaki termasuk tiga warga Indonesia ditahan kerana gagal mengemukakan dokumen rentas daerah dalam satu sekatan jalan raya (SJR) di Kilometer 43, Jalan Ipoh-Teluk Intan, Mambang Diawan di sini semalam.
Ketua Polis Daerah Kampar, Superintenden Hasron Nazri Hashim berkata, lelaki tempatan yang ditahan itu berusia 31 tahun manakala tiga lelaki Indonesia masing-masing berusia 22 tahun.
Katanya, kesemua mereka yang menaiki kereta jenis Proton Wira ditahan ketika melalui SJR tersebut untuk ke Ipoh pada pukul 10 malam.
“Kereta berkenaan ditahan kerana melanggar prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) iaitu membawa penumpang lebih had.
“Pemeriksaan ke atas lelaki tempatan itu mendapati dia tidak mempunyai dokumen rentas daerah manakala tiga warga Indonesia itu pula tidak memiliki dokumen pengenalan diri yang sah,” katanya di sini hari ini.
Menurut beliau, kompaun RM5,000 dikeluarkan terhadap pemandu kereta tersebut mengikut Peraturan 4(1) Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (PPPPPB) (Langkah-langkah Dalam Kawasan Tempat Jangkitan) 2021.
Katanya, siasatan ke atas tiga lelaki warga Indonesia itu menyatakan telah membayar RM400 kepada pemandu sebagai tambang perjalanan ke Ipoh dan baki RM1,000 lagi akan dilunaskan sebaik sahaja tiba di bandar tersebut.-K! ONLINE