LONDON – Seorang wanita kelahiran Baitulmuqaddis yang memiliki status kerakyatan Britain terkejut apabila melihat pasport baharunya tertera tempat lahir sebagai ‘Wilayah Palestin yang Dijajah’ yang merujuk kepada kota Baitulmuqaddis, lapor sebuah akhbar semalam.
Pejabat Dalam Negeri Britain kemudian memohon maaf dan menyifatkan catatan itu sebagai satu ‘kesilapan’.
Agensi tersebut berkata, pihaknya akan menyiasat kejadian itu dengan segera.
Ayelet Balaban yang berbapakan seorang warganegara Britain lahir di Hospital Mount Scopus di Baitulmuqaddis.
Balaban yang membuat permohonan pasport baharu secara online pada mulanya menyangka dia telah tersilap ketika mengisi maklumat dalam borang permohonan.
Insiden itu dilaporkan adalah kesilapan terpencil dan bukanlah polisi baharu kerajaan Britain.
Balaban berkata, abangnya yang juga memperbaharui pasport Britain miliknya dua tahun lalu menerima pasport dengan catatan tempat kelahiran sebagai Baitulmuqaddis.
Wanita itu kemudiannya menghantar e-mel kepada kedutaan Israel di Britain untuk menuntut penjelasan berkenaan isu tersebut, namun belum menerima sebarang maklum balas.
Israel menakluki Baitumuqaddis Timur yang didiami rakyat Palestin dalam Perang Enam Hari pada tahun 1967. -Agensi