JOHOR BAHRU – Sebanyak 2,082 syarikat melibatkan pelbagai sektor ekonomi di seluruh negara telah berdaftar untuk mengikuti Program Imunisasi Industri Covid-19 Kerjasama Awam Swasta (Pikas) setakat Rabu lalu.
Menteri Kanan dan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata, jumlah itu melibatkan seramai 301,050 golongan pekerja.
Katanya, sebanyak 255 syarikat berdaftar adalah syarikat yang beroperasi di Johor, dengan penglibatan seramai 14,357 pekerja.
“Dalam masa sama, kita juga mengingatkan kesemua majikan terlibat agar tidak mengenakan sebarang bayaran kepada pekerja yang mendapatkan suntikan vaksinasi di kemudahan berkenaan.
“Tindakan tegas akan diambil kepada mana-mana syarikat yang didapati melakukan kesalahan tersebut kerana perkara itu telah termaktub sebagai syarat kepada mana-mana syarikat yang mahu menyertai Pikas,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar yang diadakan selepas melakukan lawatan kerja ke Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Pikas di Mount Austin, di sini hari ini. – K! ONLINE