PETALING JAYA – Tune Protect Group Bhd. (Tune Protect) mengumumkan pelan strategik tiga tahun yang telah diumumkan pada bulan Januari lalu telah menunjukkan beberapa pencapaian yang menggalakkan.
Hala tuju kumpulan adalah ke arah membina sebuah syarikat insurans yang digemari ramai, melebarkan ekosistem AirAsia dan juga untuk mengukuhkan imejnya sebagai penyedia insurans berkonsepkan ASEAN.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan, Rohit Nambiar berkata, tiga segmen utama yang menjadi tumpuan Kumpulan adalah dalam bidang kesihatan, gaya hidup dan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) yang mana kumpulan pelanggan disasarkan kepada golongan milenial, generasi Z dan juga perniagaan mikro.
“Memandangkan kadar penembusan insurans am adalah hanya 1.13 peratus dan pertambahan pengguna internet sebanyak 70 peratus, telah memberi peluang berpotensi kepada Kumpulan untuk menguasai ruang tersebut.
“Ini adalah masa yang tepat bagi Kumpulan untuk mengembangkan segmen gaya hidup dan PKS melalui pelaksanaan usaha sama digital secara perniagaan kepad perniagaan (B2B) dengan merentasi industri lain seperti penerbangan, e-dagang, logistik, penjagaan kesihatan dan juga e-poket,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam kenyataan yang dikeluarkan bersempena mesyuarat agung tahunan Kumpulan ke-10 semalam.
Melihat kepada peluang pertumbuhan berpotensi di ASEAN, Kumpulan telah membangunkan lebih 20 usaha sama sejak tahun 2020.
Pencapaian tersebut telah melepasi sasaran awal Kumpulan yang bakal membangunkan 10 usaha sama sahaja.