fbpx

Lapangan Terbang Mukah mula beroperasi

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
MKM mampu menawarkan perkhidmatan yang lebih baik kepada pelanggan dan menyumbang kepada ekonomi tempatan.

PETALING JAYA – Malaysia Airports telah memulakan operasi Lapangan Terbang Mukah (MKM) semalam, sehubungan kejayaan ujian Kesediaan Operasi dan Pemindahan Lapangan Terbang yang dibuat bulan lalu.

MKM yang bernilai RM300 juta dengan kapasiti lebih 200 orang penumpang pada satu-satu masa itu menggantikan sepenuhnya fungsi Landasan Berlepas dan Pendaratan Pendek (STOLport) Mukah, yang hanya berkapasiti 67 penumpang sebelum ini.

Terminal baharu MKM berkeluasan 3,120 meter persegi mampu menampung sehingga 264,000 penumpang setahun, manakala landasan baharu sepanjang 1.5 kilometer sesuai untuk operasi pesawat turboprop dan helikopter.

Ia juga berpotensi untuk dipanjangkan lagi bagi kegunaan pesawat jet yang lebih besar, se­perti Boeing 737 dan Airbus A320 pada masa depan.

Ketua Pegawai Eksekutif Malaysia Airports, Datuk Mohd. Shukrie Mohd. Salleh berkata, pembukaan MKM akan meningkatkan ketersambungan bandar pesisir itu dan kawasan di sekelilingnya.

“Pembukaannya adalah tepat pada masanya seiring dengan tempoh pandemik ini, terutamanya bagi penghantaran barangan keperluan seperti ubat, makanan dan bekalan asas kepada kawasan pedalaman.

“Di Sarawak sahaja, kami ­mengoperasikan lapan STOLport yang merupakan penyumbang kepada pembangunan sosio ekonomi buat masyarakat setempat.

“Dengan status yang telah dinaik taraf sebagai lapangan terbang domestik, MKM kini mampu memberi perkhidmatan kepada lebih ramai pelanggan dan memperkukuh prospek untuk menyumbang kepada ekonomi tempatan,” katanya dalam satu kenyataan semalam.

Terletak tujuh kilometer dari bandar Mukah, MKM yang dibina atas tanah seluas 115 hektar itu memiliki bangunan terminal dan landasan baharu, menara kawalan trafik udara, pejabat, bangunan kenamaan, balai bomba dan fasiliti menunggu.

Selain turut menempatkan pejabat Lembaga Penerbangan Awam Malaysia dan Jabatan Meteorologi, MKM juga dilengkapi 100 tempat letak kereta, 20 tempat letak teksi, 20 tempat letak motosikal dan dua tempat letak bas untuk kemudahan umum.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI