PETALING JAYA – Ketika berdepan dengan persekitaran ekonomi yang sukar akibat pandemik, ramai dalam kalangan rakyat, terutamanya kumpulan B40 mengharapkan suatu bentuk perlindungan buat seketika sekiranya berlaku perkara yang tidak diingini terhadap diri mereka.
Sebenarnya ramai yang tidak menyedari atau mungkin terlupa bahawa, kerajaan telah menyediakan inisiatif perlindungan kesihatan dalam bentuk Takaful percuma, iaitu skim Perlindungan B40-mySalam yang bermula sejak 1 Januari 2019 lagi.
Skim mySalam telah memberi perlindungan kepada kira-kira 6.8 juta rakyat yang berusia antara 18 hingga 65 tahun serta merupakan penerima Bantuan Sara Hidup (BSH) dan/atau Bantuan Prihatin Rakyat (BPR).
Ketua Skim mySalam Great Eastern Takaful, Khairul Anuar Che Yeop berkata, angka 6.8 juta itu merupakan perlindungan terluas bagi skim berkenaan setakat ini, hasil daripada beberapa penambahbaikan yang telah dilakukan Lembaga Pemegang Amanah mySalam berbanding hanya 3.9 juta penerima ketika skim dilancarkan.
Jelasnya, mereka yang layak akan menerima pelbagai manfaat penggantian pendapatan, termasuklah pembayaran tunai berjumlah RM8,000 yang dibayar sekali seumur hidup apabila didiagnos dengan salah satu daripada 45 penyakit kritikal yang disenaraikan dalam skim mySalam.
Selain itu, mereka juga mendapat pembayaran tunai penghospitalan sebanyak RM50 sehari untuk maksimum 14 hari dalam setahun.
“Menerusi penambahbaikan yang dibuat tahun lalu, mereka yang menjalani kuarantin akibat pandemik Covid-19 turut layak menerima bayaran tunai RM50 sehari sepanjang tempoh kuarantin, dengan tuntutan maksimum selama 14 hari setahun.
“Selain itu, mySalam juga telah memperkenalkan satu lagi penambahbaikan berkuat kuasa 1 April lalu, iaitu penerima perlindungan mySalam boleh membuat tuntutan untuk kos peralatan perubatan yang disahkan perlu oleh doktor, misalnya alat perentak jantung dengan jumlah tuntutan maksimum RM30,000 setahun,” katanya kepada Kosmo! dalam satu temu bual secara maya baru-baru ini.
Menurut Khairul Anuar, ketika negara dilanda krisis kesihatan, kesedaran orang awam terhadap perlindungan percuma yang diberikan kerajaan menerusi mySalam semakin meningkat dan ia jelas kelihatan pada jumlah tuntutan untuk skim berkenaan yang terus meningkat tahun demi tahun.
Hal ini sekali gus mencerminkan keberkesanan skim mySalam dalam menyediakan manfaat perlindungan kesihatan buat masyarakat yang memerlukannya.
“Pada 2019, jumlah tuntutan diluluskan bagi skim ini hanyalah 8,038 tuntutan melibatkan nilai RM11,545,400, namun pada 2020, ia telah meningkat kepada 109,919 tuntutan dengan nilai RM93,007,750.
“Tahun ini, jumlah tersebut terus meningkat dan setakat Mei 2021, kami telah meluluskan sebanyak 46,497 tuntutan, melibatkan nilai berjumlah RM49,618,350, iaitu pertumbuhan sebanyak 213 peratus berbanding tempoh sama pada tahun 2020.
“Bagi tahun 2021, kami menyasarkan untuk membantu kira-kira 150,000 ahli yang layak menerima perlindungan mySalam, melibatkan jumlah tuntutan sebanyak RM200 juta,” katanya.
Dalam mendepani cabaran masa depan, kira-kira 300 kru mySalam sebagai barisan hadapan telah membantu golongan B40 yang terjejas.
Khairul Anuar berkata, tuntutan bernilai RM61,023,750 melibatkan Covid-19 telah diluluskan kepada penerima mySalam sejak wabak tersebut bermula.
Kini terdapat 141 kios mySalam beroperasi di hospital kerajaan dan hospital universiti di seluruh negara dan sebanyak sembilan lagi kios baharu dibangunkan termasuk di Hospital Angkatan Tentera Malaysia.
Ia bertujuan untuk mencapai sasaran 150 kios pada tahun ini.
Sementara itu, mengulas mengenai pelaksanaan penutupan penuh atau total lockdown yang dijadualkan berakhir pada 28 Jun ini, Khairul Anuar memberitahu, kios mySalam tetap beroperasi seperti biasa, namun mungkin terdapat sesetengah kios terpaksa beroperasi dalam tempoh lebih singkat bagi memenuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan.
“Ketika pelaksanaan PKP pertama pada Mac 2020, pihak hospital telah mengarahkan supaya kios kami ditutup kerana bimbangkan soal keselamatan, namun apabila ditutup, jumlah tuntutan telah menurun secara signifikan kepada lebih 2,000 tuntutan.
“Ini dibandingkan sekitar 4,000 jumlah tuntutan diterima pada bulan sebelumnya, bermakna jumlah tuntutan jatuh hampir 50 peratus apabila kios kami ditutup. Perkara ini membuktikan masih ramai yang bergantung kepada urusan tuntutan secara manual di kios mySalam.
“Terdapat kemungkinan mereka gemar berurusan di kaunter kami bagi memastikan tuntutan yang dibuat benar-benar menepati syarat keperluan untuk diluluskan.
“Selain itu, tuntutan juga boleh dibuat secara online di portal www.mysalam.com.my,” jelasnya.
Sebarang pertanyaan berhubung mySalam boleh hubungi talian 1 300 8889 38 yang beroperasi 24 jam sehari, tujuh hari seminggu.