SAINT PETERSBURG – Sweden mendapat suntikan motivasi menjelang aksi menentang Slovakia pada saingan Kumpulan E, Euro 2020 di Stadium Krestovsky malam ini selepas pemain sayap, Dejan Kulusevski dilaporkan cergas sepenuhnya.
Pemain Juventus itu tidak dapat diturunkan ketika seri tanpa jaringan menentang Sepanyol pada perlawanan pertama kerana perlu menjalani kuarantin Covid-19.
Bagaimanapun, dia sedia untuk memperkuatkan kesebelasan utama Sweden bagi memburu kemenangan sulung pada kempen kali ini, sekali gus mengekalkan rekod tanpa kalah ke atas Slovakia.
Jurulatih Sweden, Janne Andersson yakin mereka memiliki ramuan terbaik bagi mendapatkan tiga mata pada perlawanan itu, seterusnya mencerahkan peluang mereka untuk mara ke pusingan kalah mati.
“Kami memiliki pasukan yang cukup lengkap dan sedia untuk ‘berperang’ di atas padang. Saya juga yakin dengan kemampuan pasukan berdasarkan prestasi yang ditampilkan sebelum ini.
“Semua pemain sudah berbincang dan berkongsi pengalaman berhubung taktikal pasukan lawan, jadi kami perlu mencari ‘senjata’ terbaik untuk tewaskan mereka,” kata beliau.
Walaupun memiliki rekod yang cukup baik ke atas Slovakia, namun Sweden tidak boleh memandang rendah keupayaan mereka memandangkan Slovakia menang 2-1 ke atas Poland pada aksi sebelum ini. – AGENSI