ROME – Pengendali Itali, Roberto Mancini menegaskan Itali mampu menjulang kejuaraan Euro 2020 selepas kejayaan menundukkan Switzerland 3-0 sekali gus menjadi pasukan pertama mara ke pusingan 16 pasukan terbaik.
Mancini memuji anak-anak buahnya selepas mempamerkan aksi permainan yang cukup sempurna meskipun Switzerland memberi cabaran sengit kepada skuad The Azzurri, namun dua gol menerusi Manuel Locatelli serta satu gol hasil ledakan Ciro Immobile memberi tiga mata berharga dalam aksi Kumpulan A.
“Dalam Kejuaraan Eropah terdapat Perancis, Portugal dan Belgium. Salah satunya adalah juara dunia dan selebihnya gergasi Eropah.
“Pasukan tersebut telah ditubuhkan bertahun lamanya dan sudah pasti mereka adalah pasukan pilihan untuk menjuarai saingan ini. Tetapi, dalam bola sepak segalanya boleh berlaku dan anda tidak boleh meramalkannya.
“Setiap perlawanan sukar dan anda perlu pergi ke sana untuk berjuang mencari kemenangan. Saya bernasib baik kerana mempunyai beberapa pemain yang sangat baik dan mereka juga suka mengambil risiko.
“Pemain paling layak untuk mendapat pujian dan saya hanya merancang perjalanan pasukan ini. Apa pun, perjalanan pasukan kami masih lagi panjang, jadi saya harap mereka meneruskan permainan terbaik seperti ini hingga ke final,” katanya.
Dalam pada itu, Mancini turut berharap tiada kecederaan serius menimpa kaptennya, Giorgio Chiellini selepas terpaksa dikeluarkan pada babak pertama susulan kecederaan di bahagian paha dan mampu diturunkan pada aksi berikutnya. – AGENSI