RIO DE JANEIRO – Penyerang Chile, Eduardo Vargas mengakui semangatnya kian membara untuk membuktikan kemampuan muncul sebagai penjaring terbanyak Copa America memintas pencapaian pemain Argentina, Norberto Mendez dan bintang Brazil, Zizinho.
Gol penyamaan yang dijaringkan Vargas ketika mengikat Argentina 1-1 pada aksi pertama menyaksikan dia mengumpul 13 gol sepanjang 19 penampilan dalam kejohanan bola sepak paling tua di dunia itu.
Jumlah gol berkenaan menyaksikan Vargas termasuk dalam senarai enam penjaring terbanyak di Copa America dan hanya ketinggalan empat gol di belakang Mendez dan Zizinho.
“Pada saya ia adalah satu pencapaian yang sangat penting. Saya sangat gembira kerana berada dalam kelompok penjaring terbanyak pada saingan ini dan masih ada peluang untuk menambah jumlah itu pada baki empat atau lima perlawanan yang masih tinggal,” katanya.
Vargas muncul sebagai penjaring terbanyak pada edisi 2015 dan 2016 dengan mengumpul 10 gol dalam kedua-dua kejohanan berkenaan sekali gus berjaya membantu Chile untuk muncul juara pada dua edisi berkenaan.
Selain itu, pemain Atletico Mineiro itu juga berjaya meledak dua gol pada kejohanan yang berlangsung di Brazil pada 2019.
Chile akan turun menentang Bolivia awal pagi esok dan ia menjadi perlawanan ulangan bagi kedua-dua pasukan itu selepas mereka sekadar terikat 1-1 pada pertemuan kelayakan Piala Dunia awal bulan lalu.
“Mereka juga tidak berada dalam keadaan baik selepas tewas kepada Paraguay dan kami perlu mengambil kesempatan itu,” jelasnya. – AGENSI