BRASILIA – Penggempur utama Uruguay, Luis Suarez mengakui perlawanan menentang Argentina yang dijangka berlangsung pagi esok pastinya tidak mudah dan ia sentiasa menjadi sukar apabila menentang pasukan itu.
Uruguay akan turun beraksi menentang Argentina di Stadium Mane Garrincha, Brasilia untuk aksi pertama mereka pada kempen kali ini.
“Kami akan mencuba yang terbaik kerana menentang Argentina kami tidak mempunyai banyak pilihan. Mereka adalah sebuah pasukan yang kuat,” katanya.
Menurut Suarez, dia dan rakan sepasukannya yang lain perlu cepat mengambil kesempatan ke atas setiap kelemahan pasukan lawan, namun mengakui secara realiti bahawa tidak mudah untuk menembusi gawang yang dikawal Emiliano Martinez yang beraksi cemerlang bersama Aston Villa di Liga Perdana Inggeris sepanjang musim lalu.
“Segala-galanya bergantung kepada kami kerana saya percaya pasukan ini memiliki kemampuan untuk memberikan sesuatu yang lebih setiap kali turun beraksi,” jelasnya.
Suarez yang beraksi untuk saingan keempat Copa America dalam kariernya percaya bahawa kejohanan ini mungkin menjadi yang terakhir untuknya kerana faktor usia dan tidak mampu untuk memberikan aksi terbaik pada kempen selepas ini.
“Masih ramai lagi pemain yang akan bersama pasukan ini dengan membawa semangat dan keinginan untuk berjaya. Saya fikir tempat saya ini nanti adalah untuk mereka kerana itu adalah pilihan terbaik untuk pasukan ini,” ujarnya. – AGENSI