PUTRAJAYA – Kerajaan membenarkan pelepasan barangan (loading dan unloading) non-essential oleh pengeksport dan pengimport bermula esok bagi memastikan pergerakan barang tidak terjejas ketika musim pandemik Covid-19.
Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Wee Ka Siong, kementerian menyambut baik keputusan Majlis Keselamatan Negara (MKN) membenarkan pelepasan barangan dari pukul 8 pagi hingga 8 malam pada hari Isnin, Rabu, dan Jumaat bermula esok.
Menurutnya, kebenaran aktiviti adalah terhad kepada loading dan unloading kargo ke atau dari kilang, pelabuhan dan lapangan terbang bagi tujuan eksport dan import.
“Ia meliputi pelepasan, perancangan, pergerakan barang, operasi forklift, memuat dan memunggah.
“Pengeksport, pengimport, dan pengendali gudang boleh mendapatkan kebenaran Polis Diraja Malaysia (PDRM) di balai polis terdekat dengan mengemukakan dokumen lengkap yang berkaitan sebagai bukti seperti invois, bil muatan, senarai pembungkusan, dan lain-lain yang berkaitan ,” katanya menerusi kenyataan akhbar, hari ini.
Tambahnya lagi, senarai nama pekerja yang terlibat untuk melaksanakannya juga perlu dilampirkan dan bilangan pekerja yang dibenarkan adalah terhad dan perlu mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang berkaitan. -K! ONLINE