PUTRAJAYA – Pelajar kelas peperiksaan khususnya yang bakal menduduki Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) 2021 akan diberi keutamaan mendapatkan suntikan vaksin Covid-19.
Berita itu dikongsi Menteri Kanan (Pendidikan), Datuk Dr. Radzi Jidin menerusi hantaran di Facebook, hari ini.
Radzi memaklumkan, cadangan supaya murid kelas peperiksaan diberi suntikan telah dipersetujui Badan Bertindak Imunisasi Covid-19 (CITF) yang dipengerusikan Menteri Penyelaras Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK), Khairy Jamaluddin Abu Bakar.
“Alhamdulillah! Cadangan KPM agar murid kelas peperiksaan diberi keutamaan untuk divaksin telah dipersetujui CITF.
“Ini adalah susulan kelulusan oleh Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA) bagi penggunaan vaksin Pfizer-BioNTech untuk kanak-kanak 12 tahun ke atas di negara ini,” katanya.
Sebelum ini, Khairy Jamaluddin pada sesi webinar anjuran Oxford and Cambridge Society of Malaysia malam tadi memaklumkan, CITF akan memberi keutamaan vaksin kepada kumpulan pelajar itu terlebih dahulu.
Selain itu, Khairy Jamaluddin juga menjelaskan bahawa keutamaan vaksin turut diberikan kepada kira-kira 350,000 murid dan 47,000 guru yang terbabit kelas peperiksaan itu. – K! ONLINE