fbpx

Pulau Pinang mohon perkenan Agong adakan sidang DUN

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang.

GEORGE TOWN – Kerajaan Negeri Pulau Pinang akan memohon perkenan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah untuk mengadakan sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) dengan segera.

Ketua Menteri, Chow Kon Yeow berkata, kerajaan negeri akan mendapatkan persetujuan Yang Dipertua Negeri, Tun Ahmad Fuzi Abdul Razak untuk menulis warkah kepada Yang di-Pertuan Agong supaya hasrat mengadakan sidang DUN itu dapat dipertimbangkan menurut kuasa-kuasa yang diperuntukkan di bawah seksyen 15(1)(b) Ordinan Darurat.

Jelas beliau, sidang DUN itu sekiranya diperkenan kelak akan mengambil kira apa-apa kaedah dan prosedur yang telah digunakan sebelum ini yang terbukti dapat mengawal jangkitan virus Covid-19 semasa sidang sama pada Oktober tahun lalu.

“Dalam apa jua keadaan, kerajaan negeri mahupun DUN tidak akan sesekali mengambil risiko dan mengabaikan tanggungjawab berhubung kaedah serta prosedur yang akan digunakan bagi mengawal jangkitan pandemik Covid-19 semasa persidangan.

“(Ini termasuk) dengan mendapatkan nasihat daripada Jabatan Kesihatan Negeri dan Majlis Keselamatan Negara khususnya jika penularan Covid-19 masih tinggi di Pulau Pinang serta penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) masih diperlukan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut Kon Yeow, kerajaan negeri sentiasa berpendirian keperluan mengadakan sidang DUN juga berbangkit setakat mana Ordinan-Ordinan Darurat dan Pelan Pemulihan Negara turut memberi kesan terhadap perjalanan jentera kerajaan negeri.

“Kedua-dua Dewan Rakyat dan DUN merupakan platform penting untuk membahaskan pelbagai isu khasnya berkaitan tindakan pencegahan serta pengawalan penularan wabak Covid-19.

“Sidang Parlimen dan DUN juga perlu bagi membahaskan berkaitan peruntukan perbelanjaan Kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri dalam membantu rakyat serta memulihkan semula ekonomi negara,” katanya lagi.

Terdahulu, Al-Sultan Abdullah semalam menzahirkan pandangan sesi Persidangan Parlimen perlu diadakan secepat mungkin bagi membolehkan Ordinan-ordinan Darurat dan Pelan Pemulihan Negara dibahaskan oleh Ahli Dewan Rakyat. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI