KUALA NERUS – Kerajaan negeri Terengganu bercadang untuk memberi vaksin satu dos Covid-19 seperti CanSino dan Johnson & Johnson kepada hampir 3,000 penduduk yang menetap di rangkaian pulau yang terdapat di negeri ini.
Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar Terengganu, Dr. Alias Razak berkata, pemberian vaksin satu dos sesuai untuk penduduk pulau tersebut kerana dapat menjimatkan kos pengangkutan dan masa.
“Tumpuan kita terhadap Pulau Perhentian, Besut dan Pulau Redang, Kuala Nerus yang mempunyai perkampungan penduduk.
“Mereka adalah golongan berisiko yang perlu menerima suntikan vaksin Covid-19 sebelum kemasukan pelancong kembali dibenarkan ke pulau-pulau peranginan terbabit,” katanya di sini hari ini.
Alias berkata, kos penghantaran vaksin Covid-19 agak tinggi kerana ke pulau-pulau tersebut hanya boleh diakses dengan menggunakan pengangkutan air.
Tambah beliau, permohonan bagi mendapatkan bekalan vaksin satu dos untuk penduduk pulau tersebut setelah ia diluluskan kerajaan Pusat kelak.
Kosmo! Online kelmarin melaporkan mesyuarat Pihak Berkuasa Kawalan Dadah (PBKD) kali ke-359 telah meluluskan pendaftaran bersyarat dua jenis vaksin pelalian satu dos masing-masing keluaran CanSino dan Johnson & Johnson. – K! ONLINE