SUDAH beberapa kali nama pelakon Azrel Ismail dikaitkan mempunyai hubungan dengan ramai artis wanita sebelum ini, namun semuanya berakhir dengan penghujung tanpa bahagia.
Mengakui serik dengan pengalaman lalu, Azrel yang menyasarkan untuk mendirikan rumah tangga sekitar dua tahun lagi berkata, dalam pemerhatian sudah ada beberapa calon isteri, termasuklah wanita yang daripada golongan selebriti.
Berbunyi serik dengan pengalaman cinta yang tidak kesampaian, pelakon berusia 36 tahun itu mengakui semakin ‘bercita rasa’ terhadap wanita biasa untuk dijadikan suri hatinya suatu hari nanti.
Sekitar April lalu, Azrel dikatakan menjalin percintaan dengan seorang pelakon baharu, Sharifah Husna, namun dua bulan kemudian, kedua-duanya mengakui hubungan mereka sekadar teman biasa.
Ditemui Pose baru-baru, pelakon drama Pinggan Tak Retak, Nasi Tak Dingin itu bercakap tentang masa lalu dan masa depan wanita dalam kamus cintanya.
KOSMO! AHAD: Sebelum ini Azrel dikatakan ada hubungan istimewa pelakon baharu Sharifah Husna, apa sebenarnya yang sudah berlaku?
AZREL ISMAIL: Memang betul. Kami pernah rapat. Mungkin sebab jadual terlampau padat dan banyak komitmen sehinggakan selalu sibuk dengan urusan masing-masing. Ada sesetengah orang tidak faham kerja sebegitu, jadi sukar untuk mencari kesefahaman. Akhirnya hubungan kami tidak ke mana pun.
Banyak kali kisah cinta anda tidak kesampaian. Adakah anda sebenarnya lelaki yang tidak mempunyai tuah dalam bercinta?
Bukan tiada tuah tetapi seperti yang dikatakan tadi, disebabkan kerja, saya tidak dapat fokus perkara lain termasuklah cinta. Mungkin salah saya juga sebab terlampau tumpu terhadap kerja. Ada sesetengah orang mahu pasangan beri tumpuan dan perhatian sepenuhnya kepada mereka.
Berkaitan hubungan dengan Sharifah Husna. Ada dakwaan mengatakan, Husna yang menolak cinta anda. Benarkah?
Mungkin betul, mungkin juga tidak. Entah, saya tiada komen tentang hal itu.
Jadi bilakah sasaran anda untuk menamatkan zaman bujang?
Mungkin dalam satu hingga dua tahun lagi. Banyak lagi impian yang belum saya capai buat masa ini. Disebabkan Covid-19, perancangan dan sasaran tahun ini tergendala. Sekarang masa saya kembali sibuk bekerja dan cari duit. Lagipun saya belum ada pendapatan sampingan seperti bisnes. Bagi kaum lelaki, kestabilan sangat penting.
Biar stabil dulu barulah saya kahwin tetapi tidaklah lambat sangat sebab umur semakin meningkat. Sampai masanya nanti, sudah tentu saya akan kongsikan kepada semua.
Maksudnya, anda sudah ada calon baharu?
Ramai. Dalam pemerhatian saya, ada dua hingga tiga orang. Ada antara mereka terdiri daripada artis dan orang biasa. Berdasarkan pengalaman lepas, kalau boleh saya mahu cari calon isteri daripada wanita biasa sahaja.
Apa perkembangan terbaharu anda?
Saya baru selesai penggambaran drama Halim Halima untuk siaran Awesome TV. Tidak lama lagi akan terlibat dalam sebuah drama berjudul Janda Metropolitan. Ada juga beberapa telefilem dan drama yang masih menunggu hari.