PUTRAJAYA – Kes Covid-19 yang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) masih tidak menunjukkan penurunan ketara walaupun terdapat penurunan kes harian bagi tempoh dua minggu Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) penuh mulai 1 Jun.
Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, trend kemasukan kes Covid-19 ke unit rawatan rapi (ICU) menunjukkan peningkatan bermula sejak minggu epidemiologi (ME) ke-17 iaitu 25 April hingga 1 Mei serta hingga ME ke-21 iaitu 23 Mei hingga 29 Mei.
Beliau berkata, trend sama dilihat berterusan terutama bagi tempoh dua minggu seterusnya sehingga ME ke-23 iaitu 6 Jun hingga 12 Jun dengan jumlah pengunaan katil ICU telah melebihi 100 peratus.
Sehubungan itu, katanya, Kementerian Kesihatan (KKM) sentiasa bersiap siaga dan antara langkah diambil adalah menambah kapasiti katil sebanyak 11,598 katil di hospital dan 31,861 katil di Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 (PKRC) dalam merawat pesakit Covid-19.
“Selain itu menaik taraf kegunaan katil di wad biasa kepada katil rawatan pesakit kritikal Covid-19 serta bekerjasama dengan hospital pengajar Kementerian Pengajian Tinggi.
“Ia termasuklah antaranya Pusat Perubatan di Universiti Malaya, Hospital Canselor Tuanku Muhriz UKM, Universiti Teknologi MARA, Universiti Putra Malaysia, Universiti Sains Malaysia, dan terkini Hospital Kanak-kanak Universiti Kebangsaan Malaysia,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Noor Hisham berkata, KKM juga bekerjasama dengan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dalam penubuhan Hospital Medan. Setakat ini enam Hospital Medan ATM telah dibina di hospital-hospital KKM.
Katanya, langkah lain ialah bekerjasama dengan 112 hospital swasta khususnya di Lembah Klang bagi rawatan pesakit Covid-19 yang melibatkan sejumlah 1,274 katil wad biasa dan 128 katil ICU.
Bagi memastikan usaha-usaha yang telah dijalankan dalam melawan penularan Covid-19 ini tidak sia-sia, KKM memohon kerjasama masyarakat untuk kekal mematuhi norma baharu dan prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan bagi mengawal penularan jangkitan.
“Terus kekal mengurangkan aktiviti pergerakan di luar rumah kerana dibimbangi mungkin terkena jangkitan daripada varian baharu Covid-19 yang lebih mudah merebak dan mengakibatkan penyakit yang teruk,” katanya. – K! ONLINE