MUNICH – Pemain tengah Jerman, Toni Kroos menganggap mereka tidak bernasib baik selepas tewas 0-1 kepada Perancis pada aksi Kumpulan F, Euro 2020 di Allianz Arena awal pagi semalam.
Perancis dianggap bernasib baik pada perlawanan itu apabila gol sendiri yang dijaringkan pemain pertahanan Jerman, Mats Hummels menghadiahkan tiga mata berharga buat mereka.
Kata Kroos, Jerman juga memiliki banyak peluang untuk menjaringkan gol pada perlawanan itu, namun mereka dikecewakan dengan gol ‘nasib’ yang diperoleh Perancis.
“Kami juga mencipta banyak peluang, sama seperti Perancis tetapi amat mengecewakan apabila perlawanan ditentukan dengan gol nasib seperti itu. Secara jujur, kami lebih banyak menguasai perlawanan.
“Apabila tewas perlawanan pertama, tekanan akan jadi lebih tinggi kerana kami memiliki dua perlawanan lagi untuk merebut slot ke peringkat seterusnya,” kata pemain Real Madrid itu.
Sementara itu, seorang lagi pemain tengah Die Mannschaft, Joshua Kimmich menegaskan, tugas mereka menjadi lebih sukar selepas ini kerana perlu berdepan juara bertahan, Portugal.
“Kami bukanlah pasukan yang teruk kerana Perancis juga tidak dapat mencipta banyak peluang jaringkan gol. Sekarang kami perlu buktikan sesuatu pada perlawanan akan datang,” ujarnya. – AGENSI