COPENHAGEN – Tonggak pertahanan Belgium, Toby Alderweireld mengakui tidak begitu teruja untuk menentang Denmark selepas lima hari insiden bintang pasukan itu, Christian Eriksen rebah di atas padang akibat serangan jantung di Stadium Parken, Ahad lalu.
Alderweireld, 32, antara pemain yang terkesan dengan insiden itu memandangkan dia pernah bergandingan bersama Eriksen ketika mereka berdua beraksi dengan Ajax dari 2010 hingga 2013 dan Tottenham Hotspur (2015-2020).
“Sekarang bukan waktu yang sesuai untuk bertemu Denmark dan saya menjangkakan mereka juga merasai perasaan sama. Perlawanan itu mungkin akan memberikan motivasi tambahan atau sebaliknya.
“Ia akan menjadi salah satu perlawanan yang cukup sukar dari segi persediaan mental kedua-dua pasukan. Sudah pastinya akan menjentik emosi.
“Namun, kemenangan perlu dicari dan kami akan berusaha sedaya upaya untuk meraihnya dengan pendekatan profesional sebagai usaha menghormati mereka,” katanya.
Belgium berpeluang melangkah ke peringkat kalah mati sekiranya berjaya menewaskan Denmark pada aksi kedua Kumpulan F di Stadium Parken tengah malam ini selepas selesa mengutip tiga mata hasil kemenangan 3-0 ke atas Rusia pada aksi pertama, 13 Jun lalu. – AGENSI