fbpx

Perancis pamer permulaan positif

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
PERANCIS memulakan kempen Euro kali ini dengan meraih kemenangan selepas berjaya menewaskan Jerman 1-0 awal pagi semalam. – AFP

MUNICH – Ketua jurulatih Pe­rancis, Didier Deschamps berpuas hati dengan prestasi ditunjukkan anak-anak buahnya meskipun sekadar menang tipis 1-0 ke atas Jerman hasil gol sendiri Mats Hummels di Allianz Arena awal pagi semalam.

Bagi Deschamps, skuad kendaliannya tidak bernasib baik untuk merakam kemenangan lebih besar ke atas Jerman pada aksi pertama Kumpulan F Euro 2020 itu selepas dua gol mereka dibatalkan kerana kedudukan ofsaid.

“Kami bermain dengan cukup cemerlang menentang pasukan hebat seperti Jerman. Saya tahu pemain-pemain sudah bersedia untuk memberikan tentangan sengit dalam perlawanan ini.

“Kami sebenarnya hampir-hampir meraih gol kedua untuk menjadikan kedudukan selesa dan tidak perlu mengambil risiko sepanjang perlawanan. Malang­nya, dua gol kami dibatalkan.

“Begitupun, kami masih mampu memastikan gawang kami tidak berdepan banyak ancaman daripada Jerman. Ia mungkin disebabkan faktor kualiti dan bakat para pemain dalam pasukan saya,” katanya.

Perancis harus berterima kasih kepada Hummels yang gagal mengeluarkan hantaran lintang Lucas Hernandez sehingga menerjah ke gawang sendiri pada minit ke-20.

Skuad juara Piala Dunia 2018 itu mampu menamatkan perlawanan dengan keputusan 3-0 tetapi terpaksa akur selepas dua jaringan mereka masing-masing menerusi Kylian Mbappe dan Karim Benzema dalam babak kedua dibatalkan kerana ofsaid.

Aksi seterusnya buat Perancis adalah menentang Hungary pada 19 Jun ini dan kemenangan mampu mengesahkan slot awal buat mereka ke peringkat kalah mati. – AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI