LONDON – Penyerang berbisa England, Harry Kane mengakui tempatnya dalam kesebelasan utama skuad The Three Lions tidak terjamin meskipun memiliki reputasi cukup gah.
Pemain Tottenham Hotspur itu berdepan kritikan hebat selepas dia gagal menampilkan aksi cemerlang ketika menang 1-0 ke atas Croatia pada perlawanan sebelum ini.
Kane menegaskan, keputusan berhubung pemilihan pemain terletak di tangan pengurus, Gareth Southgate dan dia juga perlu bersaing dengan pemain lain untuk berada dalam kesebelasan utama.
“Anda semua perlu tanya Gareth (Southgate) mengenai perkara itu. Saya tidak pernah rasa tempat dalam kesebelasan utama sudah terjamin kerana kami perlu bersaing untuk mendapatkannya.
“Dominic (Calvert-Lewin) juga sentiasa menunjukkan prestasi yang bagus. Tugas saya adalah untuk buktikan kemampuan dalam sesi latihan serta tampilkan aksi terbaik pada setiap perlawanan,” kata Kane.
Sebagai rekod, Kane hadir pada Euro kali ini dengan reputasi cukup gah apabila merangkul Anugerah Kasut Emas Liga Perdana Inggeris (EPL) selepas meledak 23 gol bagi kempen 2020/21.
“Saya yakin Gareth akan melakukan penggiliran pemain pada kejohanan ini berdasarkan jadual padat. Selain itu, setiap pemain juga sentiasa bersedia untuk diturunkan,” ujarnya. – AGENSI