SAO PAULO – Ketua jurulatih Brazil, Tite mengakui masih berusaha untuk mengenal pasti trio penyerang yang benar-benar mampu untuk merobek gawang Peru ketika mereka dijadualkan turun beraksi pagi esok.
Tite menguji trio Everton Ribeiro, Everton Soares dan Gabriel Barbosa pada sesi latihan kelmarin selepas aksi cemerlang dipamerkan oleh Lucas Paqueta, Richarlison dan Gabriel Jesus diturunkan sewaktu mereka menewaskan Venezuela 3-0 pada aksi pertama.
Selain itu, Tite juga mencuba gandingan berbeza di bahagian pertahanan dengan meletakkan Thiago Silva menggantikan Marquinhos untuk bergandingan bersama Eder Militao, selain Fred menggantikan Casemiro berpasangan bersama Fabinho sebagai pemain tengah bertahan.
Tite mengakui, saingan Copa America kali ini menjadi medan untuknya melakukan eksperimen bagi mendapatkan pasukan yang benar-benar bersedia kerana impian sebenar mereka adalah menjulang Piala Dunia di Qatar tahun depan.
Pemain tengah pasukan itu, Fred mengakui Brazil kini berada pada tahap terbaik untuk mengharungi saingan Copa America dan Piala Dunia 2022 di Qatar nanti.
“Kami adalah sebuah pasukan yang baik dan dibarisi para pemain hebat. Jurulatih dan staf kejurulatihan telah melakukan tugas dengan cemerlang .
“Jika Piala Dunia bermula hari ini, kami yakin mampu untuk memberikan persembahan terbaik. Jurulatih kami sentiasa memberikan peluang seimbang kepada semua pemain, beliau mahu kami semua dalam keadaan bersedia apabila peluang itu tiba,” katanya.
Dua tahun lalu, Brazil berjaya menewaskan Peru 3-1 pada aksi final Copa America 2019 dan mereka sedia untuk mempertahankan kejuaraan yang dimenangi sebelum ini terutama ketika aksi di laman sendiri. – AGENSI