MOSCOW – Sekumpulan saintis di Rusia mendedahkan telah menemui varian Covid-19 baharu di bandar Moscow, lapor akhbar Daily Mail, kelmarin.
Penemuan ‘Varian Moscow’ itu didakwa mempunyai impak lebih serius ke atas individu dan dikatakan mampu mengatasi keberkesanan vaksin sedia ada.
Para saintis tersebut buat masa ini sedang berusaha untuk memastikan sama ada suntikan vaksin memberi kesan ke atas varian berkenaan.
“Kami kini sedang memantau situasi di Moscow dan paling penting, bandar ini sudah mempunyai varian Covid-19 tersendiri,” ujar Timbalan Pengarah Institut Penyelidikan Epidemiologi dan Mikrobiologi Gamaleya, Denis Logunov.
Organisasi yang turut bertanggungjawab menghasilkan vaksin Sputnik V percaya bahawa varian baharu itu antara penyebab kepada kenaikan mendadak bagi kes jangkitan Covid-19 di Rusia, baru-baru ini.
Sehingga kini, ketua kesihatan negara itu masih belum mendedahkan sebarang butiran mengenai varian terbaharu itu.
Namun begitu, media tempatan Rusia melaporkan, sekumpulan pakar kesihatan percaya vaksin Covid-19 masih berkesan ke atas varian tersebut.
“Kami berpendapat vaksin sedia ada mampu memberi kesan ke atas varian itu, namun kita perlu tunggu hasil keputusan kajian,” kata Ketua Institut Gamaleya, Alexander Gintsburg.
Situasi Covid-19 di Moscow semakin buruk sejak pertengahan Mei lepas dengan sejumlah 7,704 kes baharu dilaporkan pada hujung minggu lalu.
Angka itu merupakan kes terbanyak dalam sehari sejak 24 Disember 2020.
Justeru, Datuk Bandar Moscow, Sergei Sobyanin mengumumkan bahawa, bandar itu akan menambah ribuan katil hospital untuk kegunan pesakit Covid-19.
Beliau turut mengisytiharkan ‘Minggu Tidak Bekerja’ bermula 15 hingga 19 Jun bagi menggesa penduduk untuk tidak hadir bekerja dalam usaha menyekat penularan wabak itu.
Turut ditutup adalah kemudahan sukan, padang permainan dan beberapa tarikan pengunjung yang tidak akan beroperasi selama seminggu bermula Ahad, selain restoran dan bar diarahkan beroperasi tidak melebihi pukul 11 malam. – AGENSI