PETALING JAYA – Lapan individu yang leka menjalani latihan silat di sebuah rumah teres di Bandar Utama di sini dikompaun masing-masing RM1,500 selepas didapati melanggar prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 malam tadi.
Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Fakhrudin Abdul Hamid berkata, mereka didapati melakukan kesalahan itu ketika polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya membuat pemeriksaan di rumah terbabit sekitar pukul 12.10 tengah malam.
“Ketika pemeriksaan di ruangan tingkat atas rumah tersebut dilakukan, individu berkenaan sedang menjalani latihan persilatan secara beramai-ramai tanpa mematuhi SOP yang ditetapkan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN).
“Justeru itu, lapan lelaki tempatan berusia antara 26 hingga 51 tahun itu dikenakan kompaun di bawah Peraturan 17 (1) Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah Di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan 2021,” ujarnya dalam kenyataan hari ini.
Tegas beliau, orang ramai diingatkan agar sentiasa mematuhi arahan yang telah ditetapkan dan kegagalan mematuhi arahan membolehkan mereka dikompaun minima RM1,500 atau ditangkap dan seterusnya didakwa di mahkamah mengikut peruntukan undang-undang yang sedia ada. – K! ONLINE.