SHAH ALAM – Rebat sebanyak 20 peratus diberikan kepada pengeluar pelitup muka di bawah pakej
perkhidmatan pengujian dan pensilijan bermula semalam hingga hujung tahun ini.
Presiden dan Ketua Eksekutif Kumpulan SIRIM Datuk Dr. Ahmad Sabirin Arshad berkata, pemberian itu menerusi anak syarikat milik penuh SIRIM, SIRIM QAS International bagi menyokong usaha kerajaan untuk memerangi pandemik dan memastikan keselamatan rakyat
negara ini.
Katanya, organisasi juga aktif dalam pelbagai kerja-kerja penyelidikan dan pembangunan berkaitan vaksin Covid-19 termasuklah pengesahan proses pembuatan serta pengujian keselamatan lain yang berkaitan.
“SIRIM juga memastikan perkhidmatannya meliputi sektor penting ketika tempoh Perintah Kawalan Pergerakan dengan memberi perkhidmatan secara jauh.
“Ini termasuklah melakukan pengujian, pemeriksaan, penentusahan, pengukuran dan penentukuran untuk menjamin keselamatan, kebolehpercayaan dan kualiti produk yang diperbuat dan dijual di negara ini dalam tempoh berkenaan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau turut memaklumkan, ini adalah langkah pihaknya dalam terus membina ketahanan perniagaan yang berterusan terutama dalam kalangan Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) tempatan selain melaksanakan peranan yang telah dimandatkan oleh kerajaan.
Ahmad Sabirin memberitahu, Pelan Pemulihan Negara yang diumumkan oleh Perdana Menteri, Tan Sri
Muhyiddin Yassin semalam memberikan strategi yang jelas bagi negara untuk keluar daripada kemelut krisis Covid-19.
“Kejayaan pelan itu juga bergantung pada kerjasama pelbagai pihak termasuk masyarakat dan pihak industri.
“Pematuhan ketat pada SOP dan mencapai imuniti kelompok melalui vaksinasi telah terbukti berkesan di kebanyakan negara dan kami percaya Malaysia kini berada di landasan yang betul untuk mencapai semula kehidupan normal,” katanya. – K!ONLINE