GUA MUSANG – Hanya seramai 100 orang daripada 16,000 penduduk Orang Asli di daerah ini yang sudah mendaftar sebagai penerima vaksin menerusi Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK).
Pegawai Kesihatan Daerah Gua Musang, Dr. Muhd. Rafiq Mohd. Kasri berkata, kesemua Orang Asli itu telah mendaftar melalui Jabatan Kemajuan Orang Asli dan Tok Batin kampung mereka.
Katanya, jumlah 16,000 penduduk itu terdiri daripada semua lapisan masyarakat bermula daripada kanak-kanak sehingga dewasa.
“Bagaimanapun, kita tidak mempunyai data mengenai jumlah sebenar Orang Asli yang layak menerima vaksin. Setakat ini, hanya 100 penduduk yang mendaftar dan jumlah itu masih dikira rendah.
“Sebahagian besar masyarakat Orang Asli tidak mempunyai aplikasi MySejahtera malah ada masih percaya bahawa suntikan vaksin ini memudaratkan mereka,” katanya ketika dihubungi Kosmo! hari ini.
Menurut Muhd. Rafiq, pihaknya kini sedang menunggu kelulusan vaksin satu dos jenis Convidecia Recombinant Novel Coronavirus Vaccine (Adenovirus Type 5 Vector), keluaran CanSino Biologics Inc, China untuk diberikan kepada Orang Asli.
Katanya, ia akan dijalankan selepas kerajaan Mesyuarat Pihak Berkuasa Kawalan Dadah (PBKD) kali ke-359 semalam bersetuju memberi kelulusan pendaftaran bersyarat bagi vaksin itu.
“Jika penerimaan vaksin itu lambat, kita bersedia untuk gerakkan Pasukan Bergerak Orang Asli yang akan masuk ke kawasan kampung pedalaman dan memberikan suntikan vaksin,” katanya. – K! ONLINE