PELAKON dan juga pengacara, Ussy Sulistiawaty menangis ketika melihat sejumlah koleksi beg tangan mewahnya seperti terbiar ketika melakukan pengubahsuaian di rumahnya baru-baru ini.
Ujar isteri kepada pelakon dan juga penyanyi Andhika Pratama itu, dia berasa sangat sedih apabila melihat beberapa beg tangan berjenama mewah miliknya kotor dan berdebu.
Gara-gara hal tersebut, Ussy memutuskan untuk menjual koleksi beg tangan mewah miliknya itu secara dalam talian.
“Sekadar berkongsi pengalaman ketika pandemik Covid-19. Saya dan suami melakukan pengubahsuaian rumah.
“Saya menangis apabila melihat beberapa buah beg tangan mewah milik saya kotor dan berdebu,” katanya.
Pelakon yang pernah membintangi sinetron Samson Betawi itu kemudiannya telah menjual beberapa beg tangan daripada jenama mewah Hermes itu dalam laman sosial dan laris terjual dalam masa sehari.
“Lumayan juga hasil yang saya peroleh. Boleh juga buat menambah biaya untuk belanja ubah suai rumah,” katanya.