PETALING JAYA – Syarikat telekomunikasi, Axiata Group Bhd. (Axiata) dan Telenor ASA (Telenor) dijangka memuktamadkan perjanjian definitif mengenai cadangan penggabungan operasi Celcom dan Digi di Malaysia dalam tempoh masa terdekat.
Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Axiata, Datuk Izzaddin Idris berkata, pihaknya dan Telenor masing-masing telah melengkapkan proses ketekunan wajar dan berharap dapat melengkapkan perjanjian tersebut secepat mungkin.
Menurut beliau, situasi sekarang, yang mana Celcom dan Digi masih menjalankan perniagaan seperti biasa dan terus bersaing sesama sendiri di pasaran bukanlah satu keadaan yang ideal buat kedua-dua pihak.
“Kami berharap dapat menandatangani perjanjian dalam tempoh beberapa hari atau beberapa minggu lagi.
“Jangkaan sebelum ini ialah supaya ia diselesaikan pada suku kedua tahun ini, jadi kami memiliki tempoh 15 hari lagi (semalam) sebelum 30 Jun.
“Selepas perjanjian dimuktamadkan, kami akan menghantar permohonan untuk penggabungan ini kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) dan proses kelulusan mungkin mengambil masa sembilan bulan,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang media yang diadakan secara maya selepas Mesyuarat Agung Tahunan Axiata Ke-29 yang berlangsung semalam.
Turut hadir Pengerusi Axiata, Tan Sri Ghazzali Sheikh Abdul Khalid.
Media sebelum ini melaporkan penggabungan Celcom dan Digi akan mewujudkan satu entiti perniagaan yang menerajui pasaran telekomunikasi di Malaysia, dengan 19.1 juta pelanggan, pendapatan pro forma sekitar RM12.4 bilion serta pendapatan sebelum faedah, cukai, susut nilai dan pelunasan prasinergi mencecah RM5.7 bilion.
Penggabungan itu dikatakan tidak akan menjejaskan kesemua 2,400 pekerja Celcom dan 1,400 pekerja Digi sedia ada.
Selain itu, Izzaddin menjelaskan pelaksanaan penutupan penuh atau total lockdown tidak memberikan sebarang impak terhadap perancangan syarikat.
Berhubung cadangan penubuhan bank digital, Izzaddin berkata, pihaknya akan menghantar permohonan kepada pihak berwajib sebelum tarikh tutup pada 30 Jun ini.