COPENHAGEN – Penjaga gol Denmark, Kasper Schmeichel lega apabila melihat rakan sepasukannya, Christian Eriksen semakin pulih dan mampu berkomunikasi selepas terlibat dalam insiden menggemparkan ketika menentang Finland dalam aksi Euro 2020 Ahad lalu.
Eriksen yang juga bintang Inter Milan tiba-tiba rebah pada minit ke-43 dan tidak bergerak sehingga memaksa kakitangan perubatan melakukan bantuan pernafasan kecemasan (CPR) apabila mendapati nadi pemain berusia 29 tahun itu terhenti.
Doktor pasukan Denmark mengesahkan Eriksen mengalami serangan jantung dan boleh membawa maut jika lewat memberi rawatan susulan.
“Kami semua gembira dapat melihatnya kembali tersenyum dan sedikit lega kerana keadaanya semakin pulih. Saya akui ia adalah pengalaman berguna dan sedikit sebanyak membantu kami.
“Saya kenal isteri serta anaknya dan insiden berkenaan memberi tamparan hebat kepada pasukan kami ketika itu. Perkara paling utama ketika ini, dia Eriksen semakin sihat,” katanya.
Dalam pada itu, Schmeichel turut berbangga dengan tindakan Simon Kjaer yang menjadi ‘penyelamat’ apabila melakukan rawatan awal sebelum CPR oleh pegawai perubatan.
“Saya sangat berbangga Kjaer kerana berada dalam pasukan ini sebagai kapten. Saya tidak terkejut apa yang dilakukannya kerana ia adalah sifat bertanggungjawab. Mereka berdua juga sangat rapat ketika di Milan,” tambahnya. – AGENSI