fbpx

Rembatan saya bukan gol nasib – Schick

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
SCHICK (kiri) berjaya melakukan rembatan dari jarak jauh untuk menjaringkan gol kedua Republik Czech ketika menewaskan Scotland 2-0 di Stadium Hampden Park kelmarin. – AFP

GLASGOW – Penyerang sensasi Republik Czech, Patrick Schick mendedahkan bahawa dia sememangnya merancang untuk melakukan jaringan sejauh kira-kira 50 meter tersebut ketika pasukannya meraih kemenangan 2-0 ke atas Scotland malam kelmarin.

Pemain berusia 25 tahun tersebut dianggap wira Republik Czech selepas meledak dua gol, sekali gus membenam Scotland pada aksi pembukaan Kumpulan D, Euro 2020 di Stadium Hampden Park.

Schick menegaskan, jaringan keduanya itu bukan gol nasib seperti yang diperkatakan kerana dia sudah melihat penjaga gawang Scotland, David Marshall melakukan kesilapan dengan tidak berada di posisi sepatutnya.

“Ketika itu, saya lihat dia tidak berada di posisi gol dan terlalu jauh dengan garisan. Bila bola sampai, saya terus melihat dia (Marshall) berada di mana ketika itu.

“Saya tahu dia sedikit ke atas dari posisi gol, bila bola berada di kaki, saya terus melakukan percubaan. Ia adalah jaringan yang menarik,” katanya.

GABUNGAN gambar menunjukkan penjaga gol, Marshall dibolosi gol kedua Republik Czech ketika aksi Kumpulan D Euro 2020 di Stadium Hamden Park, Glasgow. – AFP

Lebih menarik, tendangan Schick dinobat sebagai paling jauh dalam Euro 2020 iaitu 45.4 meter, sekali gus memecah rekod pemain Jerman, Torsten Frings yang dibuat ketika menentang Belanda pada Euro 2004.

Pengendali Czech, Jaroslav Silhavy turut memuji permainan pasukannya terutama ledakan Schick yang dianggap luar biasa, sekali gus memastikan skuadnya itu mengutip tiga mata berharga pada aksi pembukaan Euro 2020.

“Kami tahu dia (Schick) genius dan tahu bagaimana hendak menyempurnakan jaringan. Gol kedua datang dari ‘luar planet ini’. Dia suka mencubanya dalam latihan dan pernah mencuba dalam perlawanan kami sebelum ini,” katanya.

Kata Silhavy, kemenangan itu meringankan beban Czech yang akan berdepan Croatia, Sabtu ini sebelum menentang England pada perlawanan terakhir kumpulan pada 23 Jun. – AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI