ROM – Penyerang skuad Itali, Andrea Belotti percaya mentaliti rakan-rakan sepasukan ketika ini berada pada tahap terbaik dalam usaha memburu kemenangan menjelang aksi kedua Kumpulan A, Euro 2020 menentang Switzerland di Stadium Olimpico, Rom awal pagi esok.
Sebagai rekod, skuad The Azzuri yang dikendalikan oleh Roberto Mancini memulakan kempen Euro 2020 dengan langkah kanan apabila mudah menewaskan pasukan Turki pada aksi pembukaan minggu lalu.
Kata Belotti, barisan pemain cukup bermotivasi dengan memiliki mentaliti juara di bawah bimbingan Mancini kerana mereka percaya peluang untuk muncul juara Euro 2020 nampak cerah sekali gus menamatkan kemarau kejuaraan sejak kali terakhir pada edisi 1968.
“Secara jujur, saya lihat skuad kebangsaan ketika ini cukup bersemangat dengan barisan pemain memberi komitmen terhadap sesi latihan dan mendengar setiap arahan taktikal jurulatih.
“Ini dibuktikan apabila setiap pemain percaya dengan peranan masing-masing seperti saya sendiri, meskipun bukan dalam kesebelasan utama, namun sentiasa bersedia untuk bantu pasukan jika diperlukan,” katanya.
Mengulas lanjut, Belotti yakin hanya menjuarai kejuaraan Euro sahaja dapat menebus kekecewaan pasukan yang gagal melayakkan diri di pentas Piala Dunia 2018 ekoran kemerosotan prestasi.
“Kita tahu pasukan Itali sejak beberapa tahun lalu tidak konsisten, namun situasi berbeza apa bila Mancini mengendalikan pasukan dan dia mengubah mentaliti supaya kekal percaya bahawa Itali adalah salah satu pasukan terbaik di dunia,” katanya. – AGENSI