fbpx

Pemandu van kilang rentung dalam kebakaran

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Tangkap layar video tular kebakaran sebuah van kilang yang mengorbankan pemandunya di Kilometer 53.8, Jalan Ipoh-Taiping dekat Kuala Kangsar di sini hari ini.

KUALA KANGSAR – Seorang wanita rentung setelah van kilang dipandunya terbakar dalam kemalangan di Kilometer 53.8, Jalan Ipoh-Taiping berhampiran lampu isyarat Taman Bunga Raya di sini hari ini.

Dalam kejadian pada pukul 6.05 petang itu, mangsa, S. Rojamani, 38, tersepit di tempat duduk pemandu maut manakala seorang penumpang wanita berusia 20 tahun mengalami luka-luka pada kepala dan seorang lagi penumpang lelaki berusia 28 tahun bagaimana pun tidak cedera.

Ketua Polis Daerah Kuala Kangsar, Asisten Komisioner Omar Bakhtiar Yaacob berkata, kemalangan itu membabitkan kenderaan utiliti sukan (SUV) jenis Nissan X-Trail dipandu pesara guru berusia 54 tahun dan van kilang dinaiki mangsa bersama dua pekerja kilang.

Katanya, siasatan awal mendapati, kemalangan dipercayai berlaku ketika SUV dipandu lelaki itu yang dalam perjalanan dari arah Kuala Kangsar ke Padang Rengas mahu membelok ke kiri menghala Jalan Haji Tais.

“Ketika kenderaan itu sedang membelok, van kilang yang berada di belakang tidak sempat berhenti lalu terlanggar bahagian belakang kanan SUV berkenaan.

“Pelanggaran menyebabkan van itu terbalik dan melintang di tengah jalan sebelum terbakar,” katanya di sini hari ini.

Menurut beliau, dua orang penumpang van sempat keluar menyelamatkan diri namun pemandunya tersepit di dalam kenderaan yang sedang terbakar.

Katanya, kebakaran kenderaan itu berjaya dipadamkan oleh pasukan bomba tetapi mangsa disahkan telah meninggal dunia dalam kejadian tersebut.

“Pemandu SUV tidak cedera manakala mangsa yang rentung telah dihantar ke Hospital Kuala Kangsar untuk bedah siasat dan seorang pekerja kilang yang cedera turut dirujuk ke hospital sama untuk rawatan,” katanya. -K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI