PETALING JAYA – Tindakan Suruhanjaya Hak Asasi Malaysia (Suhakam) mengiklankan pencarian penyelidik berhubung penyelidikan mengenai pengiktirafan jantina ketiga di negara ini dikecam ramai netizen.
Iklan tersebut menyatakan penugasan kajian berjudul “Feasibility of Having Legislation on the Recognition of a Third Gender in Malaysia” itu dijangka mengambil tempoh lima bulan daripada tarikh surat lantikan.
Sejak disiarkan di laman Facebook rasmi Suhakam semalam, hantaran iklan tersebut menerima lebih 300 komen dan dikongsi 257 kali.
“Dapat kita lihat bagaimana negara yang mengiktiraf gender ketiga menimbulkan masalah kepada gender asal terutama wanita misalnya sukan apabila mereka bertanding bagi kategori wanita,” komen pemilik akaun bernama Fikri Kasmani
“Punyalah bersungguh-sungguh hendak melawan hukum Tuhan. Sudah jelas dan nyata tetapi masih lagi tidak mahu terima,” komen pengguna bernama Mohd Shukri My.
“Nanti gender ketiga hendak masuk tandas mana? Usahlah terlalu ikut acuan negara Barat,” soal seorang lagi pengguna.
“Usah melampaui batas norma negara bangsa kita. Janganlah membuka ruang ke jalan yang sesat,” ulas seorang pengguna laman Facebook.
“Suhakam seumpama api dalam sekam. Sudah sampai masanya kerajaan meneliti semula kewujudan pertubuhan ini,” kata seorang lagi netizen.
Menurut iklan jawatan kosong tersebut, tarikh tutup permohonan ialah pada pukul 4 petang 30 Jun 2021 dan calon yang terpilih boleh memulakan tugas serta-merta. – K! ONLINE