PETALING JAYA – Genap dua bulan kehilangan ayah, Achey sekali lagi berdepan dugaan apabila ibu tercinta disahkan mengalami masalah saluran pankreas dan hempedu tersumbat hingga perlu menjalani rawatan lanjut.
Katanya, keadaan kesihatan ibunya memerlukan pemeriksan teliti namun sebagai anak dia dan adik-beradik yang lain sanggup bergolok-gadai demi memastikan insan kesayangan mereka kembali sembuh.
“Petang semalam kami bawa mak ke hospital untuk pemeriksaan lanjut. Tetapi kemudian terpaksa dikejarkan ke pusat perubatan lain bagi menjalani ujian klinikal.
“Daripada pemeriksaan awal, masalah kesihatannya berpunca saluran pankreas dan hempedu yang tersumbat. Hasil ujian tisu pula hanya dapat diketahui dalam tempoh seminggu.
“Buat masa ini emak dibenarkan pulang. Kami adik-beradik akan menjaganya bersama-sama, doakan semoga mak kami cepat sembuh seperti sedia kala.
“Demi kesihatan mak, kami adik beradik takkan menyerah, malah rela berkorban apa saja walaupun perlu bergolok bergadai bagi menampung kos pembedahan atau rawatan susulan,” katanya.
Semalam Achey atau nama sebenar Mohd Nasir Hamzah, 35, berkongsi gambar dan kapsyen mengenai keadaan ibunya yang dimasukkan ke hospital.
Menerusi perkongsian sama, pelawak, pelakon, pengacara dan penyanyi itu turut mendedahkan sanggup menggadaikan harta benda demi insan tercinta.
Terdahulu, Achey baharu sahaja melalui saat sukar berikutan pemergian bapanya pada 19 Mac lalu selepas Allahyarham ditemui tidak sedarkan diri.
Sementara itu, berkongsi lagi keadaan ibunya yang sudah mencecah 73 tahun, dia bersyukur berada di kebelakangan ini kerana menguruskan perniagaan sekali gus dapat menjaga insan kesayangannya itu.
Katanya, ada hikmah di sebalik situasi semasa yang berlaku apabila dia perlu mengendalikan perniagaan dari kampung halaman sejak tiga bulan lalu.
“Sukar untuk diluahkan dengan kata-kata namun kami perlu kuat demi emak. Mujur beberapa bulan lalu saya kembali ke sini untuk menguruskan perniagaan.
“Jadi apabila keadaan kesihatan mak tampak merosot secara tiba-tiba, saya dapat menjaganya. Besar jasa dan pengorbanan emak, belum tentu kami dapat balas.
“Cuma yang kami risaukan kalau mak perlu lalui prosedur pembedahan sebab faktor usia. Soal wang kami adik-beradik akan usahakan selagi terdaya.
“Kalau selepas ini orang nampak saya nak jual motor atau barang lain, itu semua demi perbelanjaan rawatan. Saya tak kisah, barang boleh cari tapi mak tak kami tak terganti,” katanya. – K! ONLINE